6



“Nak ke mana?” soal Kay. Agak pelik melihat Dahlia awal-awal lagi sudah bangun. Sedangkan hari itu hari minggu.

“Nak pergi kerjalah kak. Encik Hisyam suruh saya kemas gudang.”

“Itukan kerja dia. Kenapa dia suruh Lia pulak?”

“Dia kata dia ada hal.”

“Hal apanya kalau tak mereka semua nak pergi berkelah. Lia tak tahu?”

“Tak ada sesiapa beritahupun.”

“Hmm,” fikir Kay, mungkin mereka semua tidak mahu Dahlia turut serta. Tidak senang agaknya dengan Dahlia, tetapi sekalipun tidak mahu Dahlia menyertai mereka, kenapa Dahlia harus disuruh buat kerja. Bukankah tidak adil namanya. Namun dia juga tidak punya kuasa untuk bercakap apa-apa.

“Okeylah kak, Lia pergi dulu. Selamat berkelah,” kata Dahlia sambil keluar dari dalam bilik.

Kay hanya mengeluh tak puas hati selepas itu. Kasihan juga melihat nasib Dahlia yang sentiasa tidak disenangi itu.

Waktu Zahim tiba di perkarangan tempat letak keretanya, dia melihat ada sebuah motorsikal di tempat letak motorsikal. Bila dia amati betul-betul itu motosikal milik Dahlia.

Terus Zahim keluar dari keretanya lalu berjalan ke pondok pengawal.

“Ada orang kerja hari ni?” soal Zahim kepada pengawal keselamatan. Fikir Zahim kalau dia tidak bertanyapun tak mengapa. Dia boleh terus ke gudang dan bertanya sendiri kepada Dahlia. Tetapi disebabkan hendak dijadikan alasan agar pengawal-pengawal keselamatan tersebut tidak membuat sebarang andaian, maka dia bertanya.

“Oh, ada seorang pekerja kena kemas gudang.”

“Dia seorang saja? Pekerja lain mana?”

“Encik tak tahu ke hari ini semua pekerja ada aktiviti berkelah?”

“Berkelah?” Zahim kerutkan dahinya sambil menggaru-garu kening.

“Oh, baru saya ingat,” katanya pula sambil anggukkan kepala. Dia sendiri yang terlupa sedang Farah sudah mengingatinya saban hari tentang perkelahan tersebut.

Zahim terus melangkah. Mulanya dia hendak ke pejabat, tetapi dirinya bagai ditarik-tarik untuk ke bahagian gudang. Sudahnya dia menukar arah langkah.

Baik ke gudang saja. Lagipun di dalam pejabat itu bukan ada sesiapa. Duduk sorang-sorangpun bukan seronok, begitu terdengar-dengar suara menghasut dari dalam diri.

Zahim perlahankan langkahnya. Hendak melihat-lihat apa sedang berlaku di dalam gudang. Namun sebaik sahaja melihat gadis bertubuh kecil itu terbongkok-bongkok menyusun timbunan kotak, timbul pula belas Zahim.

Kasihannya dia. Tiba-tiba-tiba saja hati Zahim jadi susah.

Lantas dengan langkah yang masih perlahan dia menghampiri Dahlia.

“Ehem!” Sengaja Zahim berdehem.

“Makkk!” serentak dengan itu Dahlia menjerit Wajahnya jelas-jelas pucat seperti orang ketakutan.

Dia beristifar sambil menghela nafas selepas itu. Betul-betul terkejut.

Selepas itu Zahim sambut dengan tergelak kuat. Lucu melihat tingkah Dahlia. Tak sangka gadis seperti Dahlia takut juga.

“Encik nak tengok saya mati terkejut ke?” jerkah Dahlia bersama perasaan marah. Kalau diikutkan hati mahu dipelangkongnya dengan penyapu. Sudah tidak kira majikan atau siapa.

“Takkan itu awak takut. Bawak motor laju-laju tak takut pulak!” sindir Zahim.

“Encik tu terperanjatkan saya. Mahu tak luruh jantung saya!” marah Dahlia. Kasar dan kuat suaranya. Itu mungkin lebih baik dari keluarkan silat mautnya.

“Okey, okey, saya minta maaf. Hmm, siapa yang suruh awak datang kerja hari ni?” soal Zahim selepas ketawanya reda. Dia kembali serius.

“Encik Hisyam.”

“Habis dia orang tak ajak awak pergi berkelah?”

Lambat Dahlia gelengkan kepalanya.

“Tak ada orang ajak,” katanya kemudian.
Z
ahim faham. Kalau begitu cara Dahlia menjawab, pasti saja Dahlia diketepikan dalam acara sebegitu. Timbul juga belas kasihan melihat gadis itu. Entah apalah salahnya sehingga dia disisihkan selalu.

“Mungkin mereka terlupa nak ajak awak,” kata Zahim, menyedapkan hati Dahlia.

“Tak kisahlah encik, tak ajak pun saya tak rasa apa-apa,” kata Dahlia kemudiannya.
“Hmm, betul tu. Sayapun tak suka nak berkelah-kelah ni. Buang masa,” jawab Zahim.

“Jadi encik pun orang tak ajaklah?” soal Dahlia bersama ingin tahu. Mustahil juga tidak menerima sebarang jemputan.

“Ajak jugak, tapi saya malaslah nak pergi. Sebab saya ingat nak pergi Zoo,” kata Zahim sambil menjeling Dahlia. Kemudian dia tersenyum sendirian.

Dahlia buat-buat tak dengar. Malas nak bercakap apa-apa lagi. Tahu juga Zoo itu merupakan satu alasan saja. Akhirnya dia memilih untuk menyambung kerjanya.

Zahim masih berdiri ketika Dahlia sibuk dengan kerja-kerjanya.

“Apa kata kalau saya tolong awak?” Zahim menawarkan diri.

Dahlia menjeling dengan perasaan serba tak faham. Senang benarkah sehingga sanggup membantunya sedang kerja-kerja sebegitu tidak layak buat seorang bos.

Tapi, suka hatilah kalau nak menolong. Dahlia tak ada sebab nak menghalang. Cepat sikit kerjanya habis. Cepat dia balik rumah dan cepat dia tidur.

Zahim benar-benar menolong. Rasa sangat gembira kerana dapat meringankan sedikit kerja Dahlia. Apa yang paling membuatkan dia gembira ialah, berpeluang untuk melihat wajah Dahlia selama mana yang dia suka.

Dahlia sedar dirinya seirngkali menjadi perhatian Zahim, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Yang memandang itu adalah mata orang, jadi dia tidak kuasa untuk menghalang.

“Err, awak nak makan apa tengahari ni?” soal Zahim. Ketika itu bajunya sudah dibasahi peluh. Persekitaran gudang yang panas buat dia berpeluh dengan banyak.

“Tak apalah encik, nanti saya keluar beli makanan sendiri.”

“Saya nak belanja awak makanpun susah sangatkah?” Zahim sudah berang. Susah sangat hendak berbuat baik dengan gadis seorang ini.

Dahlia terkejut mendengar suara Zahim begitu. Angin pulak mamat ni. Dah tahu tak boleh penat, tak payahlah nak tolong.

“Hah! Nak makan apa?” soal Zahim semula setelah agak lama tak bercakap.

Dahlia tergaru-garu kepalanya. Tak tahu nak cakap apa. Selepas mendengar suara Zahim yang kuat tadi, dia terus terlupa apa yang hendak dimakan tengahari itu.

“Suka hati enciklah,” jawab Dahlia begitu. Tidak mahu membuatkan Zahim lebih marah lagi.

“Kalau saya belikan sup kepala gajah, awak makan jugak?” Zahim bercekak pinggang pula.

“Bolehlah.” Terus Dahlia menjawab.

Hampir tergelak pula Zahim dibuatnya mendengar jawapan selamba Dahlia.

“Hmm, saya keluar kejap beli makanan. Jangan awak lari balik pulak. Kalau awak balik siap awak!” Zahim memberi arahan.

Dahlia sekadar anggukkan saja kepalanya.

Sementara menantikan kehadiran Zahim, Dahlia ke surau yang terletak antara pondok pengawal dengan ruang pejalan kaki gudang.

“Hisy, mana pulak dia ni?” bebel Zahim sendirian waktu tiba semula ke gudang bersama nasi bungkus.

“Takkan lari balik. Motorsikalnya masih ada.”

Waktu Zahim tarik keluar telefon bimbitnya, waktu itulah Dahlia muncul.

“Hah! Ke mana?” soalnya sambil memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.

“Pergi solat kejap,” beritahu Dahlia.

“Oh!” Lalu bungkusan makanan di serahkan kepada Dahlia. Dahlia sambut bungkusan dari tangan Zahim, kemudian di bawa ke hujung gudang. Dia bersila di situ. Selepas basuh tangan dengan air yang dibawa dari rumah, Dahlia mula menjamah makanan. Dia tidak peduli dengan Zahim yang juga bersila di hadapannya. Dia makan dan terus makan.

"Cuba makan perlahan sikit. Macam dah sebulan tak makan," tegur Zahim.

Dahlia terkejut ditegur begitu. Malu bukan main lain. Dia angkat muka dan pandang wajah Zahim. Masa itulah Zahim kutip butir nasi yang terlekat di tepi mulut Dahlia.

Dahlia tak tahu nak cakap apa. Dia betul-betul tak percaya dengan apa yang berlaku. Kenapa harus begitu? Kenapa layanan Zahim tidak seperti seorang ketua dengan kulinya?

Dahlia betul-betul tak faham.

Zahim pula terus buat muka bodoh, seperti apa yang berlaku sebentar tadi bukan perlakuannya, tapi dalam hati hanya TUHAN yang tahu.

0 comments:

Post a Comment