4


“Selamat pagi semua!”

Masing-masing melihat Zahim dengan pandangan yang sangat pelik. Nampak seperti Zahim begitu ceria. Macam orang menang loteri berjuta-juta. Kebiasaannya tuan punya syarikat penghantaran itu jarang sekali seceria begitu. Sentiasa menyebut, masalah, masalah. Banyak duit akan disebut juga masalah, kalau terkurang apatah lagi. Sehari kalau dia tidak menyebut perkataan itu rasanya tidak sah.

Selesai menurunkan tanda tangannya diatas beberapa dokumen, dia bangun.

“Kalau ada sesiapa cari saya, cakap saya di bahagian penghantaran.” Beritahu Zahim kepada Kay sambil melangkah. Kemudian dia berlari anak tinggalkan ruang pejabat.

“Kenapa dengan dia tu?” soal Adam ingin tahu.

Luqman gelengkan kepalanya tanda dia juga tidak tahu.

“Hemm…macam-macam. Tak faham aku! Sekejap mukanya kalah getah sekerap. Sekejap macam orang terkahwin free. ” keluh Adam sudahnya.

Farah menjeling Zahim dari tempat duduknya. Terasa seperti ada yang tidak kena dengan sepupunya hari ini. Lain benar. Jarang lelaki itu tersenyum tetapi hari ini melebar senyumnya. Jatuh seperti kerang busuk.

Zahim tidak sabar lagi untuk ke bahagian penghantaran. Sesungguhnya sejak mula lagi dia sudah terfikir untuk menjenguk bahagian itu tetapi tidak mahu menunjukkan sebarang perubahan. Nanti masing-masing bakal terperanjat. Macam-macam bunyi pula yang bakal kedengaran. Untuk itu Zahim perlu berhati-hati.

“Selamat pagi encik,” sapa Hisyam sebaik sahaja Zahim muncul.

“Selamat pagi…” Zahim melihat-lihat fail yang tertulis besar dimuka hadapannya dengan perkataan SCHEDULE di atas meja Hisyam. Bermakna semua matlumat tentang penghantaran untuk hari itu sudah tertulis dengan lengkap. Zahim gagal memberi tumpuan terhadap matlumat yang tertulis bila matanya liar melihat sekeliling. Tercari-cari akan seseorang.

“Budak baru tu tak masuk lagi?” Akhirnya terpaksa juga Zahim bertanya bila kelibat Dahlia tidak kelihatan.

“Oh, saya suruh dia susun kotak-kotak dibelakang gudang. Biar hari ni dia buat semua kerja tu,” beritahu Hisyam.

Zahim terangguk-angguk. Padanpun tidak kelihatan di mana-mana. Kemudian diletak fail ditangannya diatas meja Hisyam semula. Dia mula berjalan ke arah gudang. Keadaan nampak sangat sibuk. Kemudian Zahim berdiri di tengah-tengah kesibukkan itu. Terfikir juga bagaimana untuk pergi ke belakang gudang untuk melihat keadaan Dahlia. Namun Zahim tidak boleh bertindak begitu. Nanti apa pula kata pekerja lain kalau dia ke tempat seperti itu. Sebelum-sebelumnya jarang dia ke situ.
Akhirnya Zahim terpaksa ambil keputusan untuk kembali ke pejabat.
Zahim duduk semula di tempatnya. Hampa! Itulah perasaan yang menemani Zahim ketika itu.

“Aik, dah mendung balik? Hmm…tadi bukan main ceria lagi. Ada masalah lah tu…” Luqman mengusik.

Zahim buat-buat tak dengar. Terus menyambung kerja tanpa bercakap sepatahpun.
Tengaharinya Zahim lewat tinggalkan pejabat untuk makan tengahari. Sengaja buat-buat sibuk dan beritahu tidak lapar. Mujur Luqman dan Adam percaya.

Ketika tinggal Farah seorang, Zahim segera bangun.

“Awak nak ke mana?” soal Farah.

“Nak ke gudang kejap, kenapa?”

“Awak tak nak keluar makan?”

“Belum lapar. Lagipun ada kerja sikit. Urgent!”

Laju saja langkahnya menuju bahagian penghantaran. Ketika itu bahagian penghantaran juga tidak berpenghuni. Masing-masing sudah keluar untuk makan tengahari.

Zahim ke bahagian gudang pula. Di situ juga kosong. Dia berdiri seketika. Mungkinkah Dahlia juga turut sama keluar untuk makan tengahari. Kemudian dia terus melangkah. Berharap sungguh Dahlia masih ada di belakang gudang.

Zahim tersenyum bila melihat Dahlia duduk sambil makan.

“Hmm…sedapnya makan, sampai orang datang pun tak sedar,” sapa Zahim setelah agak lama perhatikan Dahlia.

Dahlia tersedak. Cepat-cepat dia meneguk air. Tak guna, terperanjatkan aku saja. Marah Dahlia di dalam hati.

“Encik…?” Dahlia begitu terperanjat melihat kehadiran Zahim. Cepat-cepat dia tutup bekas makanannya.

“Hmm…kenapa tutup pulak? Takut saya tumpang makan?” Zahim duduk bersebelahan Dahlia sambil terintai-intai isi bekal makanan Dahlia.

“Err…., encik tak pergi makan?”

“Belum lapar,” jawab Zahim.

Penipu! Begitu pula kata perut Zahim kalau perutnya itu boleh bercakap. Sejak tadi sudah meronta-ronta minta diisi. Tinggal lagi tidak berbunyi-bunyi.

“Emm..awak bawa bekal?”

“Jimat sikit,” jawab Dahlia

“Bawa bekal apa?”

Dahlia lihat wajah majikannya. Pelik betul cara lelaki itu melihat bekalnya. Seperti hendak cakap begini, mintak sikit! Cara dia bertanya pula macamlah Dahlia itu orang Jepun. Tentulah dia bawa nasi, tak kan bawa sushi pulak.

“Saya bawa bekal nasi dengan sambal telur saja.” Lalu Dahlia buka semula bekas makanannya. Kemudian diserahkan kepada Zahim.

“Kalau encik nak rasa…” kata Dahlia dengan perasaan tak berapa nak ikhlas. Ajak-ajak ayam kata orang dulu-dulu. Tetapi dia yakin dan pasti, tentu saja Zahim bakal menolak. Langsung bukan selera orang kaya.

“Emm…sambal telur!” Cepat saja bekas makanan diambil dari tangan Dahlia. Dengan sudu yang sama digunakan Dahlia, Zahim mula menjamah bekalan Dahlia.
Lelaki ini tak faham bahasa ajak-ajak ayam rupanya.

“Emm…sedapnya. Saya memang suka makan sambal. Sambal ayam, sotong udang. Semua saya suka,” beritahu Zahim dengan ramah. Kemudian makan dengan berselera.

Dahlia sudah tergamam melihat cara Zahim makan. Baru sekejap tadi lelaki itu beritahu belum lapar, tapi melihatkan cara dia makan, seperti orang yang sudah sepuluh hari tak jumpa nasi. Kebulurnya semacam.

“Alhamdulilah…” kata Zahim sebaik sahaja selesai makan.

Putih mata Dahlia melihat bekas makanannya yang sudah kosong. Sedang dia juga masih lagi lapar.

“Sedap betul sambal telur awak. Siapa masak?”

Hendak saja disebut nama Angelina Jolie, tapi tak tergamak pula nak buat lawak begitu. Biarlah. Mungkin itu sudah rezeki lelaki ini. Sudah tersebut bukan rezeki Dahlia, maka dalam diam, Dahlia redha.

“Nanti bolehlah saya tumpang makan lagi.”

Kalau tak malu! Bisik hati Dahlia.

Zahim kembali ke pejabat. Perutnya terasa kenyang. Namun sebelum bangun tadi diletak juga sepuluh ringgit ditepi bekas makanan Dahlia. Kata Zahim harga makanan yang dijamahnya. Tentu Dahlia lapar ketika itu.

“Awak tak keluar makan?”soal Farrah yang setia menanti sejak tadi.

Zahim gelengkan kepalanya.

“Jom kita keluar makan.”

“Saya tak lapar.”

“Tapi saya lapar!”

“Kalau lapar pergilah makan. Kenapa tunggu saya pulak! Awak makan bukan pinjam mulut saya,” kata Zahim tanpa melihat wajah Farrah.

“Saya tunggu awak nak makan sekali.”

“Hisy awak ni, pergi sajalah kalau nak makan.”

“Kenapa susah sangat nak makan dengan awak? Dari dulu sampai sekarang, tak pernahnya awak layan saya dengan elok.” Farah merungut. Nampak bukan lagi kecewa tetapi tertekan.

Zahim sukar untuk didekati apatah lagi untuk meraih kasihnya. Dari dulu Zahim begitu juga. Keras hati dalam soal berkasih sayang. Di mana silapnya Farah juga tidak tahu.

“Eh! Jangan bising kat sini boleh? Pening dengar suara awak.”

“Saya lagi pening dengan perangai awak!” Terus Farah bangun. Melangkah dengan menghentakkan kakinya.

Ke mana Farah selepas itu, peduli apa Zahim.

0 comments:

Post a Comment