3



“MASALAH, Masalah!” Zahim merengus. Fail ditangan tercampak di atas meja. Dia bercekak pinggang kemudiannya sambil melihat muka Kay dan juga muka Nur Faezah. Tinggal lagi wajah Farah yang tidak dilihat.

“Apa hal?” tanya Luqman ingin tahu. Datang-datang terus mengamuk.

“Dua orang budak bahagian penghantaran berhenti 24 jam. Mana aku nak cari orang dalam waktu-waktu macam ni.”

“Berhenti? Siapa?” Adam bertanya dari tempatnya.

“Mat Nor dengan Haniff.”

Adam menyandar juga sudahnya. Betul-betul masalah kalau macam ni.

“Err…Encik Zahim nak pakai orang ke?” soal Kay tiba-tiba. Ingin berkongsi masalah. Setidak-tidak namanya akan naik juga nanti. Akan disebut juga sebagai membantu.

“Tak, saya tak pakai orang. Saya pakai baju.” Tiada niat Zahim hendak bergurau, dia marah sebenarnya. Boleh lagi kerani seorang itu bertanyakan soalan begitu. Makin menjadi-jadi sakit hatinya.

Kay sudah terasa. Niat murninya tidak menjadi.

Luqman gelengkan kepalanya, sedang Adam sudah melihat kerani mereka. Tidak ada yang salah pada soalan itu, cuma Kay salah bertanya. Bertanya pada orang yang tak faham bahasa. Itu saja masalahnya.

“Kalau encik nak, saya boleh kenalkan kawan serumah saya. Tapi dia ni perempuan.” Kay masih tidak mahu mengalah pada cakap-cakap Zahim. Biarlah. Terlanjur dia memberi cadangan biar sampai sudah.

Zahim yang masih bercekak pinggang melihat pula wajah rakannya saling berganti.

“Nak ke?” soal Zahim kepada kedua mereka.

“Dia ada lesen motor?” soal Luqman kepada Kay.

“Mestilah ada. Dulu dia kerja dispatch jugak. Baru lagi berhenti.” Beritahu Kay bersungguh. Berharap benar kali ini ada peluang pekerjaan buat Dahlia, adik angkat Kay juga teman serumah yang baru dua hari berhenti kerja.

“Berapa umur dia?”

“21.”

“21 tahun?” Zahim terperanjat. Kehairanan juga. Seperti usia 21 itu pelik benar.

“Rasanya tak sampai 21 hari budak tu kerja.” Zahim duduk di tempatnya sambil beri pendapatnya. Itulah sangat dihairankan dengan angka dua puluh satu itu. Fail yang pada awalnya dicampak dibuka perlahan. Dibaca sekali lalu kemudian diturunkan tanda tangannya.

“Hah! Suruhlah dia datang kerja. Kalau boleh hari ni. Berlambak kerja di bahagian perhantaran tu,” arah Zahim kemudiannya.

Terus Kay mencari telefon bimbitnya. Tergesa-gesa membuat panggilan sambil tersenyum lebar. Ada sebab kenapa dia perlu tersenyum. Pertama dia rasa dia sudah berjasa kepada ketuanya. Kedua kalau sudah berjasa tentu akan dikenang. Kalau sudah dikenang tentu saja dia bakal didahulukan dalam banyak perkara. Kerana semua itu, Kay kira dia perlu tersenyum.

“Eh! Kau datang tempat kerja akak hari ni. Ada kerja untuk kau,” beritahu Kay sebaik sahaja panggilannya berjawab.

“Betul ke ni, kak?” tanya Dahlia sedikit terperanjat. Matanya digosok perlahan, kemudian dia menguap. Dia tergaru-garu rambutnya yang kusut pula selepas itu.

“Datang cepat. Sebelum tu jangan lupa gosok gigi, mandi sekali. Jangan kau main datang je,” pesan Kay lagi sebelum dia menamatkan panggilannya.

Zahim, Luqman dan Adam saling berpandangan sesama mereka sebaik sahaja terdengar perbualan Kay. Yang dihairankan itu bukan kerana bakal dispatch baru mereka itu seorang perempuan, tetapi yang benar-benar memeranjatkan mereka bertiga ialah bila Kay menyebut perkataan berus gigi dan mandi sekali. Perempuan jenis apakah yang bakal bekerja dengan mereka nanti bila perkara asas juga diingatkan oleh rakan serumah.

Namun buat Zahim, jenis apapun perempuan itu tidak menjadi soal buatnya. Yang penting dia ada pekerja. Kalau sebulan tak mandi sekalipun dia tak kisah.
Tidak kurang setengah jam, Dahlia muncul di ruang pejabat syarikat penghantaran itu. Puas Kay dan Faezah menahan ketawa melihat keterampilan Dahlia yang sangat berbeza dari selalu. Rambutnya yang pendek disapu dengan pelembab kemudian disikat rapi. T-shirt bertangan pendek juga dibutang hingga menutup leher.
Pagi ini betul-betul Dahlia buat lawak.

“Lia, berapa botol kau pakai pelembab ni?” soal Kay sambil berbisik. Dia hendak tergelak, tetapi tak sampai hati. Mungkin Dahlia sejak mula tak pandai bergaya, jadi tidak hairanlah kalau dia muncul dalam keadaan begitu.

Dahlia terpinga-pinga seperti budak tak faham soalan. Apa salahnya kali ini?

Sebaik sahaja Zahim terpandang Dahlia dia terus tergamam. Tidak percaya dengan apa yang terpandang.

Gadis itu?

Gadis yang sering muncul dalam fikirannya akhir-akhir ini berdiri dihadapannya? Tiba-tiba Zahim rasa dadanya berdebar-debar. Terasa suasana sepi dan tenang sekali. Apa yang terpandang bagai indah belaka. Inikah harinya? Inikah hari yang Zahim yakin dan pasti akan tiba jua itu?

Zahim cuba bertenang. Bimbang salah orang. Bimbang mata tersalah memandang, kerana wajah itulah yang terbayang-bayang selalu. Bimbang juga kiriman bidadari dari kayangan yang hendak bergurau dengannya. Tapi rasa Zahim tak ada siapa yang berani bergurau dengannya ketika ini. Kalau ada yang berani-beraninya bergurau begitu, orang itulah yang Zahim pijak dulu.

Tetapi mustahil dia boleh lupa wajah yang telah menyelamatkannya tempoh hari. Dialah orangnya. Dialah yang dinanti-nanti sejak kebelakangan ini. Dan kini dia sudah menjelma didepan mata. Kebetulan atau sudah tertulis mereka memang ada jodoh, itu bakal difikirkan kemudian nanti. Apa yang lebih penting, gadis itu memang betul-betul sudah muncul dihadapan mata Zahim.

Perlahan Zahim pegang dadanya yang sudah berombak kencang. Minta sedikit ketenangan agar semuanya boleh bersabar, hati apatah perasaannya cuba disabarkan juga. Sesungguhnya dia merindui gadis ini, jadi rindu itu biar disimpan dahulu. Jangan terpandang orang nanti yang terlihat hanyalah serba kebodohan.

Adam dan Luqman hanya melihatkan saja gadis yang berdiri dihadapan mereka. Masing-masing rasa pelik. Gadis yang bertubuh kecil itu diperhatikan lama. Belum pernah mereka jumpa gadis sepelik ini.

“Kenalkan ini kawan serumah saya, Puteri Dahlia Hanim. Tapi panggil Lia saja,” kata Kay tiba-tiba. Sekaligus memecahkan rasa pelik pada setiap orang.

“Amboi nama, tak boleh panjang lagi?” Luqman bangun untuk bersalaman dengan Dahlia. Bunyi cakapnya seperti ramah benar, tapi buat Dahlia seperti mempersendakan namanya. Dahlia seperti terdengar-dengar hati lelaki itu mengutuknya, ‘nama tak padan dengan orang!’

Tapi tak mengapa Dahlia. Kita hendak mencari rezeki. Hanya ingat satu perkara, ada lori ada bas! Begitu kata hati Dahlia pula, memujuk sakan.

“Saya Putera Luqman. Panggil saja Encik Luqman. Selamat datang ke syarikat kami.” Luqman perkenalkan diri sambil berseloroh. Lagaknya seperti syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran itu miliknya.

Dia hulurkan tangannya sebagai tanda perkenalan.

“Kenapa tangan sejuk sangat ni?” soal Luqman sebaik sahaja tangan Dahlia tergengam.

“Saya naik motor tadi.”

“Saya tahu awak naik motor, bukannya naik kapal terbang, tapi kenapa boleh jadi sejuk macam ni?”

Alamak, mamat ni. Loyar buruk pulak. Jelas-jelas menguji kesabaran Dahlia.

“Ini tentu awak bawak motor laju.” Duga Luqman sebaik sahaja tangan Dahlia dilepaskan.

Dahlia sekadar tersenyum terpaksa. Betullah tu. Tak payahlah nak ditanya-tanya lagi. Kalau tak laju mustahil dari Bangsar hendak ke Glenmarie tak sampai setengah jam.

“Saya Encik Adam.” Adam bangun pula tanpa menghulurkan tangan. Terasa semacam jijik melihat gadis itu. Sudahlah selekehnya semacam.

Dahlia terangguk.

“Mari ikut saya,” arah Zahim tanpa memperkenalkan dirinya.

Tanpa sebarang kata, Dahlia mengekori Zahim dari belakang.

“Maaflah minta awak kerja hari ni. Saya betul-betul perlukan orang.” Zahim bersuara ketika melangkah ke bahagian penghantaran. Tangannya masih didada dan dada itu rasanya tak dapat bertenang seperti yang dipinta Zahim. Masih berombak. Sekejap kencang sekejap tidak.

Tiada jawapan dari Dahlia. Dia sebenarnya lebih memerlukan pekerjaan itu. Disuruh datang malam-malam buta juga Dahlia sanggup, inikan pula siang-siang buta.

“Errr….Awak kenal saya?” soal Zahim perlahan. Sekilas dia menjeling Dahlia. Di mata Zahim tiada apa yang berubah tentang Dahlia. Masih comel, masih istimewa dan masih lagi gadis yang kepingin benar ditemui.

Lambat Dahlia menggelengkan kepalanya.

“Rasanya tak kenal,” jawab Dahlia kemudiannya bersama sedikit perasaan ragu.

“Awak ada tumpangkan seorang lelaki yang hendak ke resort Desa Permai dalam sebulan yang lalu?”

Dahi Dahlia berkerut. Cuba mengingati peristiwa sebulan yang lalu.

“Awak tak ingat saya?” soal Zahim bersungguh.

“Saya lelaki handsome ni susah nak ingat.” Dahlia cuba buat lawak. Jawapannya jujur namun Zahim sudah tergelak.

“Awak ni ke situ pulak. Saya cakap betul-betul ni…” Zahim betul-betul tergelak selepas itu. Terasa begitu lucu jawapan Dahlia.

Dahlia gigit hujung bibirnya. Berusaha untuk mengingati sesuatu. Lama dia berfikir dan akhirnya baru dia teringat akan seseorang.

“Encik orang tu?” akhirnya berjaya juga Dahlia mengingatinya.

“Hmm…Saya suruh awak tunggu, kenapa awak tak tunggu?”

“Saya ada hal nak diuruskan. Jadi tak boleh tunggu encik,” jawab Dahlia jujur. Memang dia sibuk waktu itu, jadi dia tidak boleh menunggu lama.

“Terima kasih banyak-banyak. Saya betul-betul terhutang budi dengan awak. Kalau awak tak ada masa tu, sayapun tak tahu nak buat apa,” kata Zahim ikhlas. Betul-betul terhutang budi.

“Perkara kecik saja. Lagipun kebetulan saya pun nak lalu situ.”

“Tapi awak tahu tak, pertolongan awak tu dah buatkan saya untung berjuta-juta ringgit.”

“Tak apalah, itu dah rezeki encik. Dah tertulis sejak mula, jadi tetap jadi rezeki encik.”

Zahim tenung wajah Dahlia dengan perasaan terharu. Terharu kerana bertemu dengan seorang gadis yang betul-betul ikhlas.

Langkah Zahim jadi terhenti. Dia ingin menatap wajah Dahlia sepuasnya. Biar beban perasaan yang menghantuinya selama ini bakal beredar pergi.

“Err…saya Zahim. Lupa pulak nak memperkenalkan diri,” kata Zahim tiba-tiba bila merasakan perbuatannya itu bakal mengundang rasa pelik buat Dahlia. Dihulurkan juga tangannya dengan harapan tangan itu bersambut.

Cepat-cepat Dahlia sambut tangan Zahim bersama perasaan terharu. Lelaki ini kelihatannya seperti seorang lelaki budiman. Mungkin baik hati juga.

“Saya Puteri Dahlia Hanim,” beritahu Dahlia.
Z
ahim genggam erat tangan Dahlia. Terasa sangat lembut. Tiba-tiba saja dia ingin menggengam tangan itu dengan lebih erat lagi serta lebih lama, tetapi mustahil pula. Takut tak sampai sehari gadis ini di syarikatnya. Lebih takut kalau gangguan seksual menjadi alasan gadis ini berhenti kerja. Malu itu tak jadi soal, tetapi Zahim benar-benar tidak boleh melepaskan gadis ini pergi dengan begitu mudah.

“Saya serahkan awak kepada penyelia bahagian ni. Nanti pandai-pandailah dia sediakan kerja untuk awak,” kata Zahim ketika dia melepaskan pegangan tangannya. Zahim cuba melihat-lihat sekeliling sebagai satu alasan agar sikapnya tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Sehinggalah dia terpandang akan seseorang.

“Hisyam!” jerit Zahim sambil melambai-lambai.

“Kalau ada apa-apa masalah awak berbincang saja dengan Hisyam. Dia boleh uruskan semuanya,” ujar Zahim lembut.

Dahlia teranguk-angguk. Bermakna dia faham bahasa.

“Ada apa encik?” soal lelaki yang bernama Hisyam.

“Ini saya kenalkan pekerja baru. Dahlia. Dia akan bekerja di sini mulai hari ini. Awak beritahulah apa yang perlu dia buat.”

“Elok sangatlah tu. Kamipun tengah kelam kabut ni,” ujar Hisyam.

Zahim melangkah semula. Sedang Dahlia mengikut Hisyam. Tiba-tiba Dahlia terasa hendak menoleh. Hendak melihat lelaki bernama Zahim. Dahlia rasa ada sesuatu didadanya. Bergetar-getar seperti melalui jalan berbonggol. Aneh. Mungkin kerana sikap lelaki yang jelas tidak sombong.

Baru Dahlia tahu dia juga perempuan. Sekasar mana, sekeras mana dia, rupanya dia tetap memiliki hati seorang perempuan. Akan tersentuh juga bila melihat lelaki yang ada rupa.

“Kenapa terpandang-pandang? Berkenan?” soal Hisyam mengejutkan lamunan Dahlia.

Dahlia sudah tidak tahu untuk bercakap apa. Perkataan berkenan itu disambut dengan rasa terperanjat. Sama seperti dia ternampak ada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh JPJ. Betul-betul terperanjat!

“Jangan mimpilah, lelaki macam tu nak berkenan dengan awak,” kata Hisyam lagi.

Dahlia tidak anggap kata-kata Hisyam itu sebagai satu penghinaan buat gadis sepertinya, tetapi Dahlia anggap seperti satu kata nasihat yang sangat-sangat bermakna. Menyedarkan Dahlia bahawa langit itu sangat tinggi. Tak terdaya untuk mengapai awan. Dan sesungguhnya sejak mula Dahlia sudah sedar. Harap-harap sedarnya tidak akan ke mana-mana. Akan kekal berada di sisi Dahlia untuk selama mungkin yang boleh. Jadi dia tidak akan ada peluang untuk lupa diri.

“Perempuan macam awak ni layak jadi pengesat kaki dia saja.”

Wah! Lelaki ni memang melampau. Aku diam dia berlebih pulak. Nak saja Dahlia keluarkan silat terajangnya namun dia hendak bekerja bukan hendak buka gelanggang silat. Dengan itu Dahlia pujuk perasaannya baik-baik. Ingat, dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan.

“Terima kasih bang. Nasib baik abang ingatkan saya. Kalau tidak mungkin saya dah jatuh cinta dengan dia, handsome sangat dia.” Dahlia menjawab begitu bersama tenang yang sengaja dibuat-buat.

“Macam model iklan minyak wangi.” Lagi Dahlia bercakap agar segala kesakitan yang dialami hatinya segera pergi.

“Baguslah kalau awak sedar diri. Ingat taraf awak tu di mana!”

“Baguslah saya dapat penyelia macam abang ni. Berkhemah tinggi. Sanggup nasihatkan orang bawahan.” Sengaja Dahlia menyebut perkataan khemah dan tidak hemah. Saja hendak mengenakan penyelia yang sedikit ego itu.

“Cakap pun tak pandai, ada hati nak berkenan pada anak orang kaya. Hemahlah bodoh!”

Dahlia sudah ketawa. Dia berjaya. Sedikit tidak lelaki bernama Hisyam itu sudah terkena.

“Oh! Dah tukar ke? “ Lagi Dahlia buat lawak.

“Awak ni dahlah tak serupa perempuan, loyar buruk pulak.” Marah Hisyam.

Yes! Yes! Yes! Hati Dahlia melonjak girang. Kenapa dia harus rasa begitu, dia sendiri tidak tahu.

0 comments:

Post a Comment