1


ZAHIM sudah berpeluh-peluh. Hampir setengah jam dia berdiri di situ namun sebuah teksipun tidak kelihatan. Kereta yang lalu lalang pula langsung tidak mahu berhenti. Sedang janji temunya dengan sebuah kilang bakal berlangsung sedikit masa lagi.

Zahim mengeluh panjang. Sudah membayangkan peluangnya akan berakhir seketika nanti. Terasa seperti usahanya kebelakangan ini bakal hancur berkecai. Langsung tidak membuahkan hasil.

Bersama perasaan yang marah, Zahim tendang tayar keretanya. Masa ini pulak keretanya buat hal. Masa yang lain, senang pula dibawa ke mana-mana. Tak pernahnya nak meragam!

“Tak guna betul!” rungut Zahim kemudiannya. Peluh yang sudah memenuhi dahi disapu dengan tangan sekali lalu.

Zahim menunggu lagi. Harap-harap akan muncullah sebuah teksi.

Kemudian Zahim ternampak sebuah motorsikal bakal melalui tempatnya. Fikir Zahim, motorsikalpun motorsikal lah. Sekalipun kereta lembu yang lalu akan Zahim cuba juga untuk menahannya. Janji boleh bergerak lebih laju dari berjalan kaki.

Buat Zahim inilah peluang terakhirnya. Dia berdoa sunguh-sungguh agar motorsikal ini berhenti. Sebagai usaha terakhir itu, dia berdiri sedikit ke tengah jalan sambil melambai tangan. Di dalam hati tak putus-putus Zahim panjatkan doa. Bersungguh mengharap.

Doanya bagai termakbul bila motorsikal tersebut semakin perlahan. Kemudian berhenti.

Hati Zahim sudah berbunga harapan. Mujur di dunia ini masih ada manusia yang dibekalkan perasaan belas kasihan.

“Kenapa encik?” soal pemilik motorsikal. Lalu topi keledar ditarik dari kepalanya. Seorang perempuan berambut pendek.

Zahim terdiam. Terpandang seraut wajah dihadapannya tiba-tiba mulut Zahim jadi terkunci. Tidak boleh bercakap. Seumur hidup, belum pernah dia ditimpa perasaan sebegitu. Dan seumur hidup baru inilah julung-julung kalinya mata lelakinya tidak berkedip melihat perempuan. Apakah dia juga dari kumpulan lelaki yang sama? Kumpulan lelaki miang? Ah! Tidak mungkin, kerana yang terpandang bukanlah calang-calang gadis.

Comelnya dia, hati Zahim pula yang galak berbicara. Hatinya itu tak tahu diam sejak mula terpandang wajah gadis berambut pendek itu.
Gadis yang muncul dihadapannya seumpama bidadari yang turun dari kayangan. Bidadari? Biar betul!

Zahim tertoleh untuk melihat belukar di sekitar tepi jalan. Terasa sedikit seram. Gadis secantik ini tiba-tiba saja muncul. Manusia atau mahkluk halus? Tetapi mustahil juga makhluk halus boleh menunggang motorsikal? Pakai topi keledar pulak tu.

“Kenapa encik?” soal gadis itu. Terus saja menyedarkan Zahim. Sekaligus mengingatkan Zahim bahawa bukan sekarang waktunya untuk dia berkenal-kenalan dengan anak dara orang. Bukan masanya juga untuk dia mengenali bidadari atau sang ratu. Masih ada perkara paling penting yang perlu diuruskan dengan segera.

“Kereta saya rosak. Boleh saya tumpang hingga ke resort?”

Zahim segera keluarkan dompetnya. Ditarik beberapa keping duit lima puluh ringgit dan dihulurkan kepada gadis berambut pendek itu sebagai bayaran untuk membawanya.

“Encik simpan sajalah duit encik. Kebetulan sayapun nak lalu tempat yang sama.” Gadis itu memakai semula topi keledarnya. Sebuah lagi dihulurkan kepada Zahim.

“Habis kereta encik nak biar macam tu saja?” soal gadis itu pula.

“Ah! Lantaklah. Waktu saya ada urusan penting, meragam pulak. Biar tersadai di situ.” Marah Zahim tiba-tiba mengenangkan kereta mewahnya itu.

Seulas senyuman terukir pada bibir halus sebaik sahaja mendengar jawapan Zahim begitu. Waktu itulah Zahim terlupa seketika akan dirinya. Seperti terbang melayang-layang. Aduh! Kenapalah senyumannya begitu menawan?

“Encik tahu pakai ke tidak?” soal gadis itu lagi bila melihat Zahim seakan pelik melihat topi keledar. Terkebil-kebil seperti pertama kali terpandang benda yang satu itu.

“Oh! Maaf.” Zahim pula yang tersenyum. Pelik sungguh, serba serbi tak kena hari ini.

“Encik tak takut kereta encik kena curi ke?”

“Ah! Kalau ada siapa-siapa nak, ambik ajelah..”

“Mulut…, buatnya hilang betul-betul, tak menang pulak nak meraung nanti.”

Zahim tersenyum. Lucu mendengar kata-kata begitu.

Kata hati Zahim, kalau urusan ini berlangsung dengan jayanya, dia boleh membeli sepuluh buah lagi kereta dari jenis yang sama. Sikitpun dia tidak hairan.

Sepanjang membonceng, Zahim tidak bercakap. Segan hendak bersuara untuk memberitahu, seumur hidupnya, inilah julung-julung kalinya dia membonceng motorsikal. Sebab itu dia tidak ubah seperti beruk. Tak duduk diam. Takut sudahlah satu hal, malu pula usah dikira lagi. Entah siapalah si gadis comel ini yang begitu baik hati. Namun perkataan bidadari itu masih kekal menjadi bualan perasaan Zahim.

“Encik boleh duduk diam tak? Saya bimbang kita bercium dengan muka jalan raya nanti.” Amaran dari gadis comel itu buat Zahim berusaha untuk bertenang. Sedaya upaya agar tidak bergerak-gerak. Cakap gadis itu sememangnya betul. Silap hari bulan mereka berdua boleh jatuh tergolek.

“Encik ni macam tak pernah naik motorsikal!” bebel gadis itu pula.

Aduhai…Di mana nanti Zahim hendak letak muka. Malu semalunya.

Tidak sampai dua puluh minit, gadis itu berhenti di pintu laluan utama ke resort Desa Permai.

“Terima kasih banyak-banyak. Awak tunggu sini boleh? Urusan saya tak lama. Sekejap saja,” kata Zahim sebaik sahaja dia turun dari motorsikal gadis itu dan menghulurkan topi keledarnya. Zahim tergesa-gesa berlari anak, namun sempat lagi dia menoleh.

“Tunggu saya tau!” jerit Zahim sambil angkat tangannya.

Gadis itu sekadar tersenyum. Itulah senyuman paling manis yang pernah Zahim lihat dan ianya kini hanya tinggal sebagai kenangan. Sudah hampir sebulan Zahim merindui senyuman itu.



“Hey!” Luqman tepuk meja Zahim. Lamunan Zahim serta merta terhenti. Kemudian wajah Luqman dipandang dengan perasaan geram. Sudah terganggu ingatan indahnya.

“Teringat siapa? Orang tu?” teka Luqman sambil dimuncungkan mulutnya ke meja Farah, sepupu Zahim yang masih kosong.

“Hisy!” Zahim tak berkenan sungguh diusik dengan ‘orang tu’. Bukan ‘orang tu’ yang memenuhi ingatan, sebaliknya orang lain yang entah di mana-mana sekarang ini. Namun Zahim yakin gadis akan ditemui satu hari nanti. Dia pasti,di suatu hari yang indah, bila mana hatinya mula berdebar-debar dan apa yang terpandang seakan tenang, waktu itulah dia akan dipertemukan.

“Cara kau termenung tu lain macam betul. Bagai orang teringat seseorang…”

Zahim renung tepat wajah Luqman. Manalah agaknya dia menurun ilmu meneka begitu. Tepat sungguh!

“Tak ada maknanya kalau aku ingat orang tu,” kata Zahim separuh kasar.

Luqman tersenyum. Tahu Zahim tidak berapa suka kalau dikaitkan dengan sepupunya itu. Tetapi makin gemar pula Luqman mengusiknya.

“Err…” Zahim merenung wajah Luqman.

“Kau percaya dalam dunia ni ada bidadari?”

Luqman pandang wajah Zahim. Hendak tumpang gelak, tetapi tak sampai hati pula. Zahim itu sudah sejak azali begitu. Merepeknya nombor satu. Siang bolong pun boleh lagi kawan baiknya menyebut tentang bidadari.

“Bidadari tu cuma sebutan cerita dongeng. Aku rasa tak ada. Kenapa? Kau dah pernah terserempak? Cantik tak?”

“Aku rasa aku pernah jumpa dua kali.Pertama masa aku kecil dulu. Yang kedua dalam sebulan yang lepas.” beritahu Zahim bersungguh.

“Suka hatilah, kau tu kalau benda pelik-pelik memangnya berminat.”

Luqman bangun. Malas hendak bertanya lebih lanjut. Zahim itu sesungguhnya berkelakuan pelik bukan sehari dua. Bahkan sejak mengenalinya.

0 comments:

Post a Comment