5



“Mat Nor dah nak kerja balik. Kita nak terima semula atau tidak?” tanya Hisyam.

“Terima sajalah,” arah Zahim.

“Habis budak tu?”

“Dahlia?” soal Zahim ingin tahu.

“Hmm…”

“Biar sajalah dia kerja terus. kalau tak ada kerja penghantaran, suruh dia kemaskan gudang. Kalau terdesak nanti kita mungkin perlukan khidmat dia. Saya tak percaya sangat dengan Mat Nor tu. Nanti kerja dua tiga hari, hilang semula.”
Hisyam anggukkan kepala sambil letak semula gagang telefon. Faham akan arahan majikannya.

“Encik Zahim cakap awak boleh terus kerja di sini. Kemaskan gudang.”

Dahlia tarik nafas lega. Nampaknya rezekinya masih di sini. Untuk waktu terdekat ini dia tidak perlu bimbang.

“Tapi khidmat awak masih di perlukan di bahagian penghantaran.” Dahlia anggukkan kepalanya.

Dahlia anggukkan kepalanya. Tidak kisahlah kerja apa, janji dia ada kerja. Sekurang-kurangnya kepalanya tak pening untuk mencari kerja lain buat masa ini.

Walaupun kerja megemas gudang tak ubah seperti kerja tukang sapu bagi sesetengah syarikat, Dahlia tidak kisah juga. Yang dia pasti kerja itu tetap halal.

Zahim termenung di tempat duduknya. Mana mungkin untuk dia membuang Dahlia begitu saja. Kalau boleh hendak diberikan tempat yang lebih sesuai buat Dahlia.

Dia melihat jam pula. Baru menghampiri 11 pagi. Lambatnya untuk tiba makan tengahari. Hari ini entah bekal apa pula yang Dahlia bawa. Sudah tidak sabar-sabar rasanya untuk menikmati masakannya. Sekalipun yang biasa-biasa saja dimasaknya, tetap menyelerakan. Tetap kena dengan tekak Zahim.

Farah rasa sangat pelik bila melihat Zahim senyum sendirian. Jarang sekali dia begitu, tetapi sejak akhir-akhir ini kerap benar Zahim begitu. Bukan setakat tersenyum saja bahkan kadang-kadang termenung jauh. Seperti ingatannya sudah sampai ke tempat lain. Kelihatan sangat bahagia.

Sedikit tidak perasaan Farah terusik juga. Bimbang kalau betul-betul Zahim sudah bertemu dengan gadis yang diidamkan. Bimbang kalau-kalau perubahan yang ditunjukkan itu disebabkan rasa cintanya yang sudah mula berputik segar.

Kalau sudah begitu bermakna Farah tidak mempunyai sebarang harapan lagi.

“Ke mana?”soal Zahim bila melihat Adam sudah bangun bersama fail berwarna biru. Tahu fail itu hendak dihantar ke bahagian perhantaran. Bahagian penghantaran pula bersebelahan dengan gudang. Gudang di mana ada seorang gadis sedang bekerja.

“Bahagian penghantaran, kenapa?” Adam nampak sangat pelik dengan soalan Zahim. Macam tak biasa pulak.

“Biar aku hantar. Akupun nak serahkan benda ni pada Hisyam,” kata Zahim pula.

“Hisy, tak payahlah. Kau tu bos, mana boleh ke hulu ke hilir.”

“Sebab aku boslah kena ke hulu ke hilir selalu. Kalau tidak aku tak tahu apa yang kau orang buat.”

“Hmm..suka hatilah,” kata Adam sambil duduk semula.

Laju saja langkah Zahim selepas itu. Dia ingin cepat sampai dan dia hendak melihat Dahlia secepat mungkin.

Dahlia melihat Zahim sedang menuju ke arahnya. Apa lagi lelaki seorang ini hendak.

“Err…” Zahim teragak-agak hendak memulakan bicara.

“Encik nak apa?” soal Dahlia.

“Hari minggu ni awak free?”

“Kalau free kenapa?”

“Kita pergi Zoo.”

“Hah?” Terkejut besar Dahlia bila seorang lelaki yang terang-terang berpangkat bos, mempelawanya ke Zoo. Betul ke tidak ni?

“Maksud saya kalau awak senanglah.” Merah padam muka Zahim. Malu semalunya. Entah kuasa apa yang merasuknya sehingga boleh terkeluar perkataan Zoo.

“Hari minggu ni saya tak senang nak pergi Zoo. Saya ada kerja sikit,” jawab Dahlia.

Zahim sudah tidak tahu hendak letak mukanya di mana. Rasa tidak boleh nak pandang wajah Dahlia.

“Encik jangan malu. Saya faham perasaan encik. Kadang-kadang kita orang dewasa ni teringin jugak nak pergi tempat macam tu. Lain kali kalau encik ajak, mungkin saya boleh temankan encik, tapi hari minggu ni saya betul-betul ada kerja.”

Dahlia tepuk bahu Zahim sebelum dia beredar. Kemudian Dahlia gelengkan kepalanya.

“Ada ke ajak aku pergi Zoo? Memang tak cukup agaknya mamat ni.” Bebel Dahlia sendirian.

Hisy! Kenapa pulak aku boleh tersebut perkataan Zoo. Kalau sebut perkataan Zoo, tak ada kerjapun dia akan sebut banyak kerja.

Aduh! Zahim rasa kepalanya sudah sangat berat.

0 comments:

Post a Comment