2


“AWAK macam tak berselera saja nak makan, kenapa?” Lama Farah perhatikan cara Zahim makan. Ditolak-tolak nasi dengan sudu. Kemudian Zahim seperti mengelamun jauh. Seolah-olah sudah berada di tempat lain.

Luqman dan Adam saling menjeling. Faham sefahamnya. Bukan sehari dua mereka mengenali Zahim. Bukan juga kerana mereka ada share holder dengan syarikat Zahim, tetapi pada mereka Zahim itu pelik sejak mula. Tak ada apa yang perlu dihairankan.

“Akhir-akhir ni macam selera makan aku hilang,” beritahu Zahim. Pelik juga dengan perubahan diri sendiri. Rasa benar lain macamnya.

“Mandipun tak basah?” soal Luqman selaku bergurau. Disambut gelak Adam.

“Ada perempuan baru ke?” Adam mencelah sedang Farah sedikit terkejut. Disebut perempuan baru mengundang cemburu buat Farah.

“Kau ni Aim, mudah sangat jatuh cinta. Hah! Kali ni perempuan mana? Jangan cakap perempuan rambut panjang yang comel sangat. Yang giginya tak tumbuh lagi.” Luqman sudah tergelak selepas bercakap.

“Eh! Itu kekasih pertama aku. Yang ini lain…”

Perasaan Farah tambah tidak senang. Dia pula yang hilang selera makan. Bukan sekali dua Zahim menyebut kekasih pertamanya. Sudah kerap benar namun belum sekalipun diperkenalkan gadis itu.

“Yang inipun comel jugak. Huh! Aku tak bolehlah terpandang perempuan comel. Mulalah rasa semacam!”

“Aim, dahlah. Kalau betul perempuan-perempuan tu ujud, sekarang kau tunjukkan kepada kami. Kami sendiri yang akan pinangkan perempuan tu untuk kau!”

“Betul? Betul kau orang boleh kahwinkan aku?” bersungguh Zahim bertanya sekalipun cakap-cakapnya itu sekadar untuk bergurau.

“Aku tak kira, sekali ni kalau aku jumpa dia, aku terus kahwin dengan dia. Aku tak peduli lagi.” Kali ini bunyi cakap-cakap Zahim seperti bersungguh, tidak lagi sebagai gurauan.

“Aim, aku tak faham betullah dengan kau ni. Yang lain kau okey, tapi bab perempuan kau memang k.o,” kata Adam sambil menyapu mulut dengan tisu. Kemudian dia minum tanda makan tengaharinya sudah selesai.

“Betul, aku setuju. Bab kerja, bab cari duit, inilah orangnya. Tapi bab perempuan aku rasa inilah lelaki paling teruk sekali.” Luqman tolak perlahan bahu Zahim. Ada kemesraan di situ.

“Imaginasi dia tentang perempuan sangat pelik. Suka fikirkan yang bukan-bukan. Sedangkan perempuan yang betul-betul ujud depan mata, tak pernah terpandang,” tokok Luqman.

Farah terasa. Benar-benar terasa. Seolah-olah cakap-cakap Luqman itu ditujukan kepadanya.

“Aku kalau nak pilih perempuan, biar perempuan yang hati aku berkenan. Kalau setakat gitu-gitu je, aku tak layan!”

Muka Farah sudah merah. Lebih terasa lagi dengan kata-kata Zahim. Bermakna selama ini dia hanya setakat gitu-gitu saja.

“Habis umi kau tak bising? Iyalah dah lama aku dengar Hajah Habibah membebel. Asal aku datang ke rumah uminya, lain tak ada. Minta tolong pujuk Aim kahwin cepat.”

“Bising jugak. Puas paksa aku kahwin, tapi aku tak layan. Sudahnya dia sendiri malas nak cakap. Nantilah. Aku rasa tak lama lagi. Dah terasa sangat macam perempuan yang aku suka tu dekat dengan aku. Kita tunggu sajalah!”

“Emm…Suka hati kaulah Aim. Janji kau bahagia. Kalau dengan cara macam tu buat kau tak angin selalu, aku rela kau bercinta dengan perempuan-perempuan tu. Ujud atau tidak itu soal kedua.” Luqman tepuk perlahan bahu Zahim.

Ketika itu Farah rasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya Zahim sekadar menyimpan angan. Gadis yang dimaksudkan entah di mana. Sedikit tidak memberi harapan buat Farah untuk menawan hati Zahim. Harap-harap peluang itu ada bersamanya.

0 comments:

Post a Comment