7




Muka Farah masam. Marah yang terbawa-bawa dari semalam belum ada tanda hendak reda. Marah betul dia dengan Zahim. Sudah berkali-kali dia ingatkan Zahim tentang perkelahan tersebut. Sudahnya Zahim tidak datang juga. Zahim ternyata terang-terang mencari pasal dengannya. Saja nak buat Farah marah.

“Kenapa semalam awak tak turut serta?” soal Farah sedikit kasar sebaik sahaja masuk pejabat.

“Banyak kerja nak buat!” jawab Zahim malas.

“Bukan ke saya dah ingatkan awak tentang perkelahan tu? Kenapa masih nak buat kerja? Awak tak bolehkah tinggalkan kerja awak walau sehari?” suara Farah masih kuat. Benar-benar tidak puas hati dengan jawapan Zahim.

“Kau tak nampak aku banyak kerja? Kau ingat aku senang sangat nak pergi berkelah?” tengking Zahim. Hilang sabar bilapagi-pagi sudah dipaksa mendengar Farah membebel.

“Bukan selalupun kita pergi. Dahlah ajak keluar berdua awak tak pernahnya ada masa. Keluar ramai-ramaipun tak boleh nak luangkan masa sikit?” herdik Farah.

“Aku cakap aku tak ada masa, kau faham ke tidak?” suara Zahim sama naik. Sakit hatinya tiba-tiba.

Dahlia yang muncul di muka pintu kerana menghantar beberapa buah fail, terkejut mendengar suara herdikan Zahim.

Angin apa pulak mamat ni? Semalam bukan main baik.

“Psst! Kenapa tu?” Perlahan Dahlia bertanya kepada Kay.

“Tengah menurun!” jawab Kay.

“Siapa?”

“Dua-dua sekali!”

“Oh! Takutnya!”

Kay tersenyum. Dahlia juga memalingkan wajahnya untuk memandang Zahim yang sudah merah mukanya.

“Baik Lia pergi cepat. Akak takut nanti dengan Lia sekali Encik Zahim telan.”

“Itu spesis makan orang ke kak?”

“Boleh jadi jugak. Tengok gaya bukan saja orang, gajahpun boleh dia telan.”

“Akak ni, kalau iyapun agak-agaklah. Hmm, akak tolong hantar dokumen ni pada dia. Lia blah dulu!”

“Okey!”

Terus Dahlia melangkah semula ke muka pintu.

“Dahlia!” Zahim melaung.

Dahlia tersentak. Langkahnya terhenti. Terus menoleh ke arah Zahim.

Zahim terus bangun. Tinggalkan Farah yang masih tercegat di hadapan mejanya.

“Apa hal?” soalnya kepada Dahlia.

“Encik Hisyam suruh saya hantar dokumen tu kat encik,” beritahu Dahlia sedikit takut. Takut Zahim bakal menurun dengannya pula.

“Awak boleh tolong saya?” soal Zahim.

“Tolong apa? Tolong tengok?” Dahlia buat lawak.

Faezah yang terdengar perbualan antara Zahim dan Dahlia rasa sangat hairan Seperti ada kemesraan antara mereka berdua. Kay juga tumpang terkejut. Sedang mereka juga tidak beraninya bergurau begitu Zahim

Zahim sudah tergelak. Jawapan dari Dahlia buat semua kemarahannya hilang.

“Awak boleh pandu kereta?”

“Boleh!”

“Tunggu kejap.” Zahim kembali ke mejanya. Beberapa dokumen diambil dan dibawa bersama.

Dari tempat duduknya Farah menjeling tajam. Sakit hati masih tidak berkurangan. Tambah sakit bila Zahim langsung tidak peduli, sedang dengan perempuan seorang itu Zahim boleh bergelak ketawa.

“Eh, aku keluar kejap. Petang nanti aku balik. Aku terus ke Perlabuhan. Kalau ada apa-apa masalah, kau orang berdua tolong uruskan,” beritahu Zahim.

Adam dan Luqman anggukkan kepalanya.

“Tolong beritahu Hisyam, aku bawak Lia sekali untuk jadi pemandu aku,” pesan Zahim lagi.

“Kenapa awak bawa perempuan tu pulak? Sayapun boleh jadi pemandu awak, kalau awak nak.” Farah membantah. Kurang senang dengan keputusan Zahim.

Zahim tidak peduli. Laju langkahnya mendapatkan Dahlia.

Farah cuba melangkah. Hendak mengejar Zahim.

“Dahlah Farah. Jangan pedulikan Zahim tu. Awak buat saja kerja awak. Lagipun minggu depan dah nak gaji. Kalau sangkut gaji pekerja, berbakul pulak awak bawak balik sumpahan orang!” Adam cuba menghalang. Kurang senang melihat Farah begitu.

Farah merengus dengan wajah paling masam. Paling sakit hati. Zahim pula makin menghilang.

0 comments:

Post a Comment