8


“DAHLIA?” Terkejut Zahim melihat Dahlia bersama joran yang tersangkut dibelakangnya.
“Encik Zahim?” Dahlia juga tidak terkurang rasa terperanjatnya.
“Apa awak buat di sini?” soal Zahim.
“Err…” Dahlia teragak-agak mencari jawapan. Dia menggaru kepalanya. Kemudian melihat-lihat sekeliling.
“Jahit langsir kut!” Terus Dahlia menjawab begitu. Kalau soalan sudah jenis soalan bodoh, maka jawapannya harus bodoh juga. Jadi biarlah mereka sama-sama jadi bodoh!
Zahim ketawa. Padan muka! Terkena juga dia.
“Okeylah Encik Zahim. Saya pergi dulu.” Dahlia melangkah tinggalkan Zahim yang masih tersenyum-senyum. Dia malas nak bercakap lagi. Lihat muka Zahim saja Dahlia sudah tahu, jenis muka yang ikan kelam kabut nak dekat. Nak pulak ikan betina.
“Apa punya boslah. Boleh lagi dia tanya aku buat apa di sini,” bebel Dahlia sambil tercari-cari tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti memancingnya. Apa yang penting, tempat itu mesti jauh dari Zahim. Jangan sesekali terpandang wajahnya. Jangan sesekali terpandang senyumannya apatah lagi jelingan matanya. Dan kalau boleh semuanya jangan! Dia harus sedar diri. Jangan nak bermimpi di siang hari!
Lama Zahim perhatikan Dahlia. Lama juga dia tersenyum sehingga dia sedar sesuatu. Gadis ini memiliki sesuatu yang sangat-sangat istimewa. Dan kali ini dia benar-benar pasti, dia tidak salah meletak harapan.
Bersama senyuman yang masih terukir, perlahan Zahim melangkah. Dibawa sekali perasaan yang kian berbunga-bunga.
Dahlia duduk sambil melihat wajah tasik yang tenang. Angin petang yang bertiup lembut, membuatkan suasana bertambah cantik, bertambah damai.
“Boleh saya duduk dengan awak?” soal Zahim ketika menghampiri Dahlia.
Habis! Alamatnya seekor ikan pun bakal tidak mengena. Bebel hati Dahlia sebaik sahaja terdengar suara Zahim.
Tanpa sebarang jawapan, Dahlia menoleh. Terpandang wajah Zahim yang sedang berdiri di belakangnya, hati Dahlia mula tidak aman. Tak kenal diam. Dan waktu itulah Dahlia rasa perasaannya lebih semacam lagi. Dia sendiri sudah berpesan sebelumnya, jangan sesekali terpandang wajah itu, kalau terpandang juga beginilah jadinya. Dia tidak akan tenteram. Bahkan tidak tenteram segalanya.
Dahlia mengeluh panjang.
Seluas-luas tasik ini, dekat aku juga yang menjadi pilihan. Macamlah tak ada tempat lain. Lagi terdengar bebelan dari dalam hati Dahlia.
Akhirnya Zahim duduk juga bersebelahan Dahlia walau tanpa sebarang persetujuan daripada Dahlia sendiri. Peduli apa dia!”
Dahlia kembali buat tidak tahu. Buat bodoh juga sebenarnya.
“Selalu awak memancing di sini?” soal Zahim memulakan bicara sebaik saja dia duduk.
“Selalu!” jawab Dahlia rengkas.
“Tapi tak pernah tengok awakpun.”
“Masa tu Encik kenal saya ke?”
Zahim tersenyum. Terkena lagi!
Dahlia melempar tali joran ke tengah tasik.
“Dah berapa lama awak memancing?”
Ewah, ewah. Banyak pulak soalan mamat ni. Macam pemberita majalah memancing pulak.
“Baru lagi.”
“Selalu awak datang dengan siapa?”
“Encik boleh diam tak? Kalau encik bercakap semua ikan lari, nanti dengan encik-encik sekali saya campak ke tengah tasik.” Dahlia sudah bengkeng. Sudahlah dia tidak gemar ditemani, cakap banyak pulak. Rimas Dahlia jadinya. Kenapalah petang ini menjadi petang sangat malang buatnya?
Zahim tersenyum sambil menjeling Dahlia. Belum pernah dan belum ada yang berani bercakap begitu dengannya. Gadis seorang ini nampaknya benar-benar tak tahu takut.
Dari melihat wajah Dahlia, Zahim melihat ke tengah tasik. Mudah-mudahan hari ini dia berjaya juga memancing ikan. Kalau tidak ikan cukuplah kalau dia dapat memancing hati orang!
Suasana sepi agak lama. Dahlia malas nak bercakap, Zahim pula takut hendak bercakap. Bimbang kena herdik sekali lagi. Mereka sekadar bermain acara jeling menjeling sehinggalah joran Zahim mengena dengan seekor ikan keli yang agak besar.
Cis, dasar ikan gatal! Pantang ternampak lelaki ada muka sedikit! Marah hati Dahlia.
“Lia, Lia. Saya dapat ikan keli besar!” Sengaja Zahim menjerit sambil tunjuk ikan yang ditangkapnya. Nak buat Dahlia naik angin. Suka betul bila melihat Dahlia marah-marah. Nampak comel betul.
“Hisy, mamat ni. Dapat ikan besar itupun dah kecoh. Macam dapat tangkap jaws!” bebel Dahlia sendirian.
Dahlia kembali buat tidak tahu selepas itu.
“Eh! Lia, saya dapat lagi.” Sekali lagi Zahim menjerit.
“Mamat ni memang nak kena dengan aku agaknya. Bising betul!” Dahlia semakin geram melihat Zahim yang kecoh itu. Sedang umpannya dari tadi tidak mengena.
Sehingga hampir senja, seekor ikan gagal mengena di mata pancing Dahlia sedang Zahim pula berjaya memancing 3 ekor ikan keli yang agak besar.
“Lain kali boleh tak encik jangan datang dekat dengan saya? Encik carilah tempat lain.”
“Eh, kenapa pulak.”
“Ikan dalam tasik ni semuanya gatal-gatal. Pantang nampak lelaki handsome, semuanya datang menyerah diri,” bebel Dahlia.
“Iya ke macam tu? Maknanya saya ni handsomelah?”
Wah, perasannya mamat ni. Pantang dipuji sikit.
“Tapikan, kalau betullah saya ni handsome, kenapa tak seorangpun gadis yang suka saya? Kenapa sampai sekarang tak ada seorangpun yang sudi nak jadi girlfriend saya?”
“Sebab encik tu jual mahal.”
“Okeylah kalau macam tu. Saya jual murah dengan awak. Saya kira lelong dengan awak. Awak boleh jadi girlfriend saya ?”
“Encik nak mampus?” jegil mata Dahlia sudah membuktikan dia betul-betul marah.
“Kalau iyapun nak bercakap, agak-agaklah jugak. Saya tahulah siapa saya,” tokok Dahlia. Yang tidak-tidak saja jadi bahan bualan.
“Dahlia saya cakap serius ni.”
“Encik ada nampak saya cakap main-main?”
“Habis awak tak boleh jadi girlfriend saya?”
“Hisy, encik inikan memang tak betul agaknya. Saya pulak nak dikenenkan dengan encik. Encik bukan ke dah ada Cik Farah?”
“Jadi, kalau Farah tak ada awak naklah dengan saya?”
“Hisy, malaslah nak cakap dengan encik ni. Dahlah tak faham bahasa, merepek yang bukan-bukan pulak.”
Dahlia terus melangkah menuju tempat letak motorsikalnya. .
“Dahlia, kejaplah.”
“Ah! Malaslah nak layan encik ni.”
“Eh, nantilah dulu.” Zahim tarik tangan Dahlia.
“Okey, kalau awak tak nak jadi girlfriend saya, apa kata awak jadi kekasih saya? Tawaran ni terbuka khas untuk awak seorang. Tak ada tarikh tutup.”
Dahlia jeling wajah Zahim dengan pandangan amat tajam. Ketika itu Zahim masih ketawa.
“Betul?” Dahlia bertanya. Kata hatinya kalau orang bergurau apa salahnya dia bergurau sama. Kalau Zahim gila apa salahnya dia tumpang sama gila. Kalau Zahim tak cerdik, kenapa dia harus jadi cerdik pulak?
“Emm,” Zahim anggukkan kepalanya.
“Baik kalau macam tu.” Dahlia sudah senyum.
“Saya nak sebuah kereta yang sama dengan kereta encik. Sebuah rumah yang sama dengan rumah encik. Dan saya nak juga syarikat yang sama macam syarikat encik. Itupun kalau encik tak keberatanlah.”
Zahim tersenyum. Hmm, kalau semua dah sama, maknanya tak payahlah dia sediakan yang lain. Ambil sajalah yang mana ada.
“Hmm, tak ada hal. Tak jadi masalah buat saya. Kalau macam tu jomlah!”
“Ke mana?” Dahlia bertanya.
“Eh, tadi bukan ke nak kereta macam saya. Inilah keretanya. Rumah pulak nanti saya buat kunci yang lain. Kalau nak syarikat, esok duduk kerusi saya!”
Dahlia gigit hujung bibirnya. Betullah lelaki seorang ini tak boleh buat kawan bercakap.
“Saya balik dululah encik,” kata Dahlia sambil mengambil topi keledarnya. Malas lagi nak bercakap dengan Zahim.
“Nah,untuk awak.” Zahim hulurkan ikan yang berjaya dipancingnya kepada Dahlia.
“Kenapa?”
“Tak siapa nak siangkan untuk saya.”
“Cik Farah?”
“Dia tu bukan saja tak boleh siang ikan, kalau pergi pasarpun seminggu demam sebab pening bau ikan. Perempuan macam tu nak jadi isteri saya? Kirim salam awal-awal!”
“Oh, sebab itu rupanya. Tapi kalau dia betul sayangkan encik, jangankan pergi pasar, terjun lautpun dia sanggup semata-mata nak cari ikan untuk encik,” kata Dahlia sambil memakai topi keledar kemudian dia bertenggek di atas motorsikalnya.
“Boleh tak awak jangan sebut nama dia? Menyampah saya dengar!”
“Wah, takutnya tengok encik marah!” Dahlia buat lawak.
“Hisy!” Zahim ketuk topi keledar Dahlia.
Dahlia sambut dengan gelak.
“Nah, bawak balik.” Zahim hulurkan pula ikan hasil pancingannya.
“Terima kasihlah,” kata Dahlia. Kemudian ikan-ikan itu bertukar tuan.
“Dahlia, tentang tawaran saya tadi tu…”
Terus Dahlia pecut motorsikalnya.
“Hisy, dia ni. Ajak jadi kekasihpun susah!” rungut Zahim. Kemudian dia tersenyum.
Ah! Di mulut naga lagikan direbut. Inikan pulak bukan dari mulut sesiapa.

0 comments:

Post a Comment