9


Zahim baringkan badannya di katil. Tergolek-golek bersama rasa bosan. Tiba-tiba saja kenangan petang tadi bertandang lantas buat Zahim tersenyum sendirian. Rasa-rasanya, petang itulah petang paling menggembirakan buatnya.
Lantas dia bangun. Dicapai terus telefon bimbit yang terbaring di atas meja tulis lalu dibawa semula ke atas katil. Ingin bertanyakan keadaan ikan keli tiga ekor itu. Tidak. Bukan begitu. Yang sebenar-benarnya dia hanya ingin bertanyakan diri Dahlia. Ikan itu hanya penyebab.
Kalau beritahu saja-saja telefon, mahu terpekik terlolong pulak budak comel tu.
Menanti panggilannya dijawab, Zahim tersenyum lagi. Bagai terkenang-kenang tingkah lucu Dahlia.
“Helo siapa ni? Telefon esok tak boleh? Dah tengah malam ni, aku nak tidurlah, bodoh!”
Zahim terkejut. Dipanggil bodoh itu tidak kisahlah. Mungkin gadis seorang ini biasa bercakap begitu. Namun yang buat Zahim terkejut bila disebut tengah malam. Sedang jam dinding, jelas-jelas menunjukkan pukul Sembilan duapuluh minit. Atau mungkinkah jam itu betul-betul sudah rosak. Tapi mustahil juga. Sebelum terbaring tadi, Zahim menunaikan solat Isyak terlebih dahulu. Itupun sebaik sahaja masuk waktu.
“Saya minta maaflah kalau mengganggu….”
“Kalau iyapun nak minta maaf, tak boleh tunggu siang? Tidakpun tunggulah hari raya. Tapi kalau kau telefon aku sebab tak boleh bayar hutang, minta maaflah. Aku tak boleh terima maaf jenis tu. lagi pun aku tengah sesak ni,” Dahlia terus bercakap.
Zahim bukan lagi terkejut, tetapi sudah hendak ketawa.
“Helo, Dahlia. Saya ni Zahim.”
“Zahim mana pulak ni? Aku tak ada kawan nama Zahim.”
“Bos awak siapa namanya?”
“Encik Zahim,” jawab Dahlia rengkas.
“Encik Zahim?” soal Dahlia pula. Matanya yang mengantuk bagai disiram-siram. Betul-betul tak percaya ditalian sekarang ini adalah majikannya.
Alamak! Apa hal pulak dia telefon. Janganlah hendaknya bertanyakan ikan keli tiga ekor itu.
“Iya, saya, Zahim. Hmm…bila agaknya saya berhutang dengan awak?” Zahim tersenyum lagi. sengaja hendak bergurau dengan Dahlia.
“Minta maaflah, saya ingatkan kawan saya tadi,” kata Dahlia sambil menahan rasa malu.
“Hmm… Belum pukul 10, awak dah tidur?”
“Dah tak ada kerja, layan tidur ajelah.”
Senangnya hidup anak dara seorang ini. Bagai tiada masalah yang mengganggu hidupnya.
“Err, apa cerita ikan keli tiga ekor tu?”
Dahlia dah agak! Majikannya pasti bertanyakan ikan keli tiga ekor itu. Aduh! Yang tinggal tulang dan rangka kepala.
“Maaf Encik Zahim. Ikan-ikan keli tu semuanya dah selamat!” beritahu Dahlia dalam keadaan gusar.
“Eloklah. Saya bimbang awak buang saja.”
“Saya bakar tadi. Lawannya dengan air asam.”
Tiba-tiba kecur air liur Zahim. Tersebut keli bakar bersama air asam mengundang seleranya.
“Saya betul-betul terlupakan encik. Maaflah….”
“Hisy, awak ni. Saya tak kisah. Dah rezeki awak.”
“Tapi encik yang susah-susah pancing.”
“Tak apa, saya tak kisah. Lagipun ikan-ikan tu untuk awak bukan?”
“Manalah tahu encik mintak saya tolong siangkan saja ke…”
“Hisy, tak adalah macam tu.”
Dia sekejap. Zahim tak tahu nak cakap apa lagi. dah jadi blur tiba-tiba.
“Encik buat apa tadi?” Dahlia soal setelah beberapa ketika masing-masing tak bercakap. Terus dia tepuk dahinya perlahan. Bodohnya kau Dahlia. Macam tak ada soalan lain.
“Emm, lepas solat saya ingat nak sambung buat kerja sikit, tapi tiba-tiba teringat awak!”
“Teringat saya?” terkejut juga Dahlia. Mabuk ke mamat ni tiba-tiba teringatkan dirinya.
“Bukan begitu, saya teringat pada ikan-ikan keli tu yang sebenarnya.” Zahim berdalih. Bimbang Dahlia terhidu apa-apa. Malu Zahim nanti. budak tu jenisnya kalau dah dapat gelak memang sah tak ingat dunia.
“Yalah. Mesti encik teringat ikan-ikan keli encik tu, buat apa encik nak ingat saya betul tak?”
Tak betul! Aku sebenarnya terkenang-kenang akan diri mu seorang. Aku terbayang-terbayang semuanya tentang dirimu sejak tadi. Itu bisikan-bisikan kecil yang terdengar di dalam diri Zahim. Tapi mana mungkin dia boleh bercakap begitu. Dari elok-elok boleh berkawan, nanti dipandang pun tidak.
Dahlia itu bukan seperti gadis-gadis lain. Dia sangat berbeza. Dia tidak hairan walau selonggok emas terhidang di depan mata. Zahim tahu bukan Dahlia orangnya yang terkejar-kejar lelaki berpangkat dan kaya.
“Err…” terpaksa Dahlia berbunyi begitu bila Zahim langsung tak berbunyi. Kalau nak berkata begini ‘dahlah bercakap dengan saya, saya nak tidur,’ memang tak patut. Yang bercakap dengan dia sekarang bukan orang lain, bos dia jugak! Jadi memang kurang ajar benar kalau dia yang menyuruh lelaki itu berhenti bercakap dengannya.
“Awak dah mengantuk ke?” soal Zahim tiba-tiba.
“Tidaklah, ingatkan encik dah tertidur sebabnya tak berbunyi langsung!”
Zahim tergelak. Kelakar mendengar jawapan Dahlia.
“Taklah sampai tertidur. Belum mengantuk lagi. Errr…kalau..” tersekat kata-kata Zahim. Keberatan hendak bercakap lebih lanjut. Bimbang jawapan bakal menghampakan.
Dahlia tidak menyampuk. Tidak bertanya juga tentang kalau itu. Dia masih sabar menanti. Bukankah dia sabar orangnya.
“Kalau saya ajak awak makan awak nak tak?”
Tersedak Dahlia jadinya.
“Encik, ikan keli tiga ekor tadipun belum sampai perut saya, encik dah ajak saya makan,” kata Dahlia sambil berusaha sembunyikan rasa terkejutnya.
“Kalau awak tak nak makan, awak temankan saya saja.”
“Kenapa encik tak ajak Cik Farah saja?”
“Awak boleh tak jangan sebut nama dia?” tengking Zahim sedikit kuat. Marah betul bila nama perempuan tu jadi sebutan waktu perasaannya sedang seronok.
“Okey, okey. Saya temankan encik makan.” Putus Dahlia bila mendengar Zahim sudah bertempik. Kurang ajar punya bos. Suka-suka datuk nenek dia nak bertempik!
“Saya nak jemput awak kat mana nI?” Zahim buat lagi suara kasar. Baru tahu Dahlia tu takut juga kena marah.
“Err, encik tahu di mana rumah sewa saya?”
“Manalah saya tahu!” kata Zahim lagi. masih dengan nada suara garang yang dibuat-buat. Pada hal dia dah nak gelak.
Ewah, dia yang ajak aku makan, dia pulak naik angin. Bisik hati Dahlia.
“Encik tahu Taman Indah?”
“Tahu!”
“Okey, encik masuk simpang yang ke empat. Tunggu saya di situ,” arah Dahlia.
“Baik tapi kalau awak tak datang, esok saya telan awak hidup-hidup!”
“Saya datang, encik jangan bimbang. Encik tunggu saja.”
Selepas itu bergegas Zahim bersiap. Rasa sudah tidak sabat-sabar untuk berjumpa dengan Dahlia. Tidak sangka dan betul-betul tidak sangka.
Dahlia ketuk kepalanya dengan perlahan.
“Gatal betul kau ni Dahlia. Nanti dia ingat apa pulak!” keluhnya penuh dengan kesal. Tapi apa boleh buat. Terlajak kereta boleh di tolak-tolak. Kalau dah terlanjur berjanji, padanlah dengan muka sendiri.
Dahlia ambil masa sedikit. Dia tak mahu menunggu Zahim nanti nampak sangat dia yang melebuh. Jadi dia main agak-agak hendak keluar rumah. Paling cepatpun 30 minit. Itu kalau tak traffic jammed. Tapi mana datangnya traffic jammed malam-malam begini.
Aduh!
Sementara menantikan 30 minit berlalu, Dahli baring sebentar. Fikirannya mula berserabut. Yang bukan-bukan saja difikirkan.
Dalam dia menantikan 30 minit itu sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.
“Helo Dahlia, awak kat mana ni? Saya dah sampai kat simpang yang awak cakap tu!” suara Zahim sedikit menjerit.
“Hah! Encik dah sampai? Encik ni bawak kereta ke bawak roket?”
“Cepat! Saya kira sampai 3 saja. Awak tak muncul saya makan awak masa tu jugak!”
“Okey, okey saya datang sekarang jugak!”
“Satu!” Zahim mula mengira. Sambil itu dia tersenyum sendirian.
“Kejap, jangan kira dulu!” Dahlia sudah menjerit. Dia bergegas lari. Sekuatnya. sehabis daya.
“Dua!” Zahim sambung mengira.
“Nanti!” Dahlia menjerit. Zahim buat dia benar-benar cemas.
“Dua suku!”
“Encik, encik!” kata Dahlia sebaik sahaja tiba di tempat Zahim mengira. Dia terbongkok-bongkok menahan penat.
“Hmm, tahu takut!” kata Zahim sebaik sahaja menyimpan telefon bimbitnya di dalam poket. Gembira melihat Dahlia begitu.
“Saya ingatkan encik lambat lagi sampai!”
“Habis awak ingat saya tinggal kat London?”
Sambil terbongkok Dahlia jeling Zahim. Amboi, macam tak ada tempat lain. Kalau iyapun sebut sajalah tempat tempat dalam Malaysia. Ini sampai ke London. Macamlah Dahlia tak faham makna sindiran Zahim itu.
“Masuk cepat,” arah Zahim sambil membuka pintu keretanya.
Bersama sisa kepenatan yang masih tertinggal di dalam diri, Dahlia melangkah perlahan menuju pintu kereta yang sudah sedia terbuka untuknya.
“Encik nak makan kat mana ni?” soal Dahlia terus.
“Ikut ajelah. Jangan banyak tanya!”
Zahim terus memandu. Sambil itu dia menjeling Dahlia dengan rasa gembira. Gadis itu terlalu biasa. Hanya mengenakan jeans yang sudah lusuh serta t shirt. Pernah beberapa kali Zahim melihat Dahlia memakai baju yang sama dan juga seluar yang sama. langsung tak ambil peduli tentang penampilan.
Tapi Zahim suka. Mungkin itu salah satu penyebab kenapa dia suka dengan Dahlia. Dahlia tidak seperti gadis lain.
“Kita makan kat sini,” ujar Zahim ketika berhentikan keretanya di hadapan sebuah restaurant.
Dahlia ikutkan saja. sebab dia sendiri tak tahu nak cakap apa-apa. Kalau dia cakap pun, belum tentu Zahim nak dengar.

0 comments:

Post a Comment