12


“Kenapa ni, aku tengok kau seperti ada masalah saja? Dah beberapa hari macam orang hilang semangat saja!” tegur Luqman akhirnya. Nampak benar akan perubahan pada diri Zahim.
Zahim gelengkan kepalanya.
“Eh! Kita orang ajak kau datang sini nak main bowling, kalau muka kau macam ni, dengan kau-kau sekali kita orang baling nanti!” Adam mencelah.
Zahim tersenyum. Teringat akan kata seseorang yang seakan sama dengan kata-kata Adam.
“Kau orang main ajelah. Aku tak ada mood!”
“Cakaplah, apa masalahya.” Desak Adam. Rasa tak senang melihat Zahim dalam keadaa begitu.
Zahim malas hendak menjawab. Matanya liar memandang sekeliling. Tiba-tiba dia terlihat pasangan yang sedang berpegangan tangan.
Bukankah itu kekasihnya Dahlia? Tetapi kenapa bersama dengan gadis lain. Zahim bingkas bangun. Adam dan Luqman jadi hairan. Berkejar mereka bila melihat Zahim meluru ke arah seseorang.
Serentak dengan itu tangan Zahim sudah terhayun ke mulut Fendy. Terduduk Fendy jadinya.
Cepat-cepat Adam dan Luqman menyabarkan Zahim.
“Kau ni memang lelaki tak guna!” herdik Zahim pula.
“Eh! Zahim, kau ni kenapa? Tiba-tiba menyerang orang ni,” soal Adam. Dia betul-betul terkejut dengan sikap Zahim itu.
“Dengan Lia kau bercinta, tapi kau keluar dengan perempuan lain. Jenis lelaki apa kau ni?” pekik Zahim lagi.
Fendy pegang bibirnya yang tiba-tiba rasa pedih.
Zahim terus keluarkan telefon bimbitnya.
“Lia, awak kat mana ni?” soal Zahim kasar.
“Memancing,” jawab Dahlia.
“Memancing? Eh, awak tahu tak buah hati kesayangan awak ni buat apa kat One Utama?”
Dahlia sudah gementar. Ini tanda-tanda penyamaran Fendy bakal kantoi.
“Awak tahu tak dia bersama perempuan lain?”
Sah, memang kantoi. Si Fendy pun satu, kalau iyapun nak berdating janganlah tempat-tempat macam tu. Aduh! Payah begini.
“hah! Kenapa awak diam?” marah Zahim lagi.
“Saya tak tahup un!” jawab Dahlia lambat.
“macam mana awak nak tahu kalau asyik memancing.” Zahim tutup terus telefon bimbitnya. Marah berbaur geram. Sekarang ni bukan dia marahkan Fendy saja, tetapi dengan Dahlia berlebih lagi.
“Encik, macam ini sajalah. Baik saya berterus terang saja. Dah tak guna saya nak sembunyikan lagi. Saya ni sebenarnya sepupu Dahlia. Ini teman wanita saya. Hari tu saya menyamar je jadi boyfriend si Lia. Itu rancangan dia. Dia kata encik syok kat dia, jadi dia tak ada pilihan lain.” Fendy berterus terang. Tidak mahu ada salah faham lagi.
“Apa?” soal Zahim dengan rasa terperanjat. Dia pandang tepat wajah Fendy. Rasa tidak percaya dengan apa yang didengar.
Sedang Luqman dan Adam sudah mula tersenyum-senyum. Ada udang di sebalik batu rupanya. Padanlah tak serupa orang dua tiga hari ini. Kes putus harapan rupanya.
“Si Lia terlebih perasan. Dia ingat encik syok kat dia. Itu sebabnya buat rancangan yang bukan-bukan. Apapun saya minta maaf bagi pihak Lia kalau dia dah salah faham dengan encik,” kata Fendy.
Muka Zahim sudah merah. Malu bukan main lagi.
“Saya ingat baik encik jangan tunjuk sangat perihatin pada Dahlia tu. Dia memang jenis yang kuat perasan, ” kata Fendy lagi cuba menyapu bibirnya yang mula berdarah.
Luqman hulurkan tangannya kepada Fendy. Cuba menolong Fendy bangun.
“Saya pun minta maaf bagi pihak kawan saya ni,” kata Luqman bila terang-terang Zahim seakan tidak boleh bersuara. Terkunci mulutnya tiba-tiba.
“Tak mengapa, ini semua salah faham saja,” kata Fendy perlahan.
“Minta maaf,” kata Zahim sudahnya bersama perasaan kesal.
Fendy terpuk perlahan bahu Zahim tanda dia tidak rasa apa-apa selain rasa pedih dibibirnya. Salah dia juga kerana ikutkan saja rancangan bodoh Dahlia.
“kami pergi dulu,” kata Fendy sambil tarik tangan Linda.
Luqman dan Adam ketawa selepas itu. Benar-benar tidak percaya Zahim akan bertindak begitu hanya kerana budak dispatch itu.
“Kau betul-betul ada hati dengan Lia?” soal Adam ingin tahu.
Zahim diam. Tiada jawapan yang paling sesuai.
“Tak kan kau serius kali ni.” Luqman pula bertanya.
“Kenapa dia tak layak untuk aku?” soal Zahim kasar.
“Sebab dia macam tu, aku tak layak nak sayang dia? Begitu?” soal Zahim lagi.
“Bukan macam tu, tapi carilah gadis yang lebih sesuai,” tambah Luqman.
“Ah! Sudahlah kau orang. Rupanya kau orang lebih suka mengutuk aku dari tumpang bahagia bersama aku!” Zahim bawa diri. Sudah tidak sanggup untuk bersama teman-temannya.
Luqman dan Adam saling berpandangan sesama mereka bersama perasaan yang sangat pelik.
“Takkanlah Dahlia?” Luqman masih tertanya-tanya.
“Aduhai Zahim. Tak faham betullah dengan dia ni.” keluh Adam pula.

8 comments:

ble nk smbung citer seterusnya..

 

bila nak sambung nie??? saya tak sabar nak baca!!! sangat best!!! saya suka jalan cerita yang macam ni ;)

 

Menaraikkkk sis,
Sukerrr sgtttt

 

aik mana n3 seterusnya..wahai penulis mana kau menghilang

 

Post a Comment