11


Zahim menunggu di dalam kereta. Tahu sebentar nanti Dahlia akan muncul. Mengikut jadual, ada sebuah bungkusan yang bakal dihantar ke bangunan tersebut.
Tidak lama kemudian dia terpandang Dahlia muncul bersama motorsikalnya. Dibiarkan Dahlia menjalankan tugasnya terlebih dahulu dan dia bakal bertindak kemudiannya.
Bagi Zahim cukuplah beberapa hari ini dia bersabar. Dia bukanlah seorang lelaki yang dibekalkan dengan sifat sabar. Jadi dia perlu menghuraikan kekusutan yang sedia ada dengan segera. Dia tidak mahu jatuh sakit kerana memikirkan perkara itu terlalu lama.
Ketika Dahlia muncul semula di tempat motorsikalnya, Zahim bergegas keluar dari kereta lalu rentap tangan Dahlia dengan kasar.
“Encik? Apa encik buat di sini?” soal Dahlia sambil melihat sekeliling. Bimbang kalau-kalau ada yang terpandang. Teruk dia nanti. kena gelak tak apa lagi. Kalau dah kena kutuk memang sakit sangat hati.
“Encik, saya banyak kerja ni.” Pantas Dahlia bersuara lalu tangannya ditarik dari gengaman Zahim.
“Dahlia, boleh awak berikan saya lima minit untuk buat penjelasan?” Rayu Zahim sambil mula lepaskan tangan Dahlia.
Dahlia pandang wajah Zahim dengan penuh tanda tanya. Apa lagi yang hendak dijelaskan sedang semuanya sudah jelas kini.
“Saya nak berkawan dengan awak.” Zahim berterus terang.
“Hah?” Dahlia kehairanan.
“Encik nak berkawan dengan saya?” soalnya kemudian. Tak faham. Kawan tu jenis yang bagaimana? Kawan atau kawan-kawan?
“Hmm…” angguk Zahim.
“Saya nak jadi kawan awak. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.”
“Hisy…” Dahlia merengus. Terasa sudah penat untuk melayan kerenah Zahim. Seolah-olah tidak faham bahasa
“Kalau Encik macam ni, saya akan berhenti kerja,” ugut Dahlia tiba-tiba.
“Saya cuma nak berkawan dengan awak, itupun susah ke untuk awak terima saya sebagai kawan awak?”
“Encik, tolonglah. Kita tak boleh sama sekali berkawan.”
“Kenapa? Sebab saya keturunan burung merak, dan awak itik serati? Begitu?”
Wah, keturunan burung rupanya. Padan pun tak faham bahasa. Akan tetapi kiasan Zahim Dahlia faham sefahamnya. Dia bukan keturunan itik serati yang tak faham bahasa orang. Dia jelas sejelasnya.
“Encik sedar pun, kenapa masih tak nak terima kenyataan? Tak kira burung merak atau itik serati, kita sama sekali tak boleh berkawan.”
“Ah! Itu peraturan yang dibuat oleh manusia. Tak ada kena mengena dengan kita. Asalkan ikhlas tak kiralah siapapun kita. Tapi dalam kes kita ni, saya rasa awak memang tak nak langsung berkawan dengan saya. Mungkin saya tak sepadan dengan awak. Iyalah, awakkan cantik, comel.”
Dahlia gigit hujung bibirnya sambil menahan perasaan. Geram! Kalau ikutkan hati mahu ada yang cium gigi jalan tengahari buta ini.
“Dahlah Encik Zahim, jangan nak merepek yang bukan-bukan. Saya cakap lain, Encik cakap lain. Tak payahlah kita bercakap. Saya cakap pun encik bukan nak faham!” kata Dahlia sudahnya.
Zahim masih tak bergerak. Dia masih tidak berpuas hati.
“Encik nak apa sebenarnya ni sampai sanggup tunggu saya kat sini?” soal Dahlia sambil melihat wajah Zahim yang sudah kemerahan. Kasihan pula melihat lelaki seorang ini. Nampak bersungguh untuk berkawan.
“Saya nak awak terima saya sebagai kawan awak. Itu saja.”
“Iyalah, iyalah, kita kawan. Dah puas hati sekarang?”
“Hah?” terperanjat Zahim dengan kata putus Dahlia. Semudah itu?
“Jadi awak sudi terima saya sebagai kawan saya?”
“Encik ni pelik betul. Tak serupa dengan lelaki lain. Kalau lelaki lain punyalah mengutuk saya.”
“Saya lelaki tulin Dahlia.”
Dahlia tersenyum sudahnya. Cara Zahim menjelaskan ketulinan dirinya itu seperti sangat bersungguh, macamlah Dahlia ada menyebut benda-benda yang tak elok. Pondan misalnya.
Zahim sedar hanya jauhari kenal maknikam. Sesungguhnya berlian itu kalau jatuhnya dilumpur kekal juga bernama berlian. Kerana berlian sejak mula tetap tidak ternilai.
Zahim tersenyum. Terasa sedikit gembira. Walaupun sebenarnya perasaan terkejut itu lebih menguasai. Sangka Zahim usaha berhari-hari ini bakal membuahkan hampa tetapi sebaliknya. Sekalipun cakap-cakap Dahlia itu kedengarannya seperti tidak berapa ikhlas, namun Zahim tetap percaya semuanya bakal berjalan dengan baik tidak lama lagi. Yang Zahim benar-benar perlukan ketika ini ialah peluang dan kesempatan. Mudah-mudahan semuanya bakal berjalan dengan baik selepas ini.
“Tapi kita hanya menjadi kawan untuk di luar sahaja. Di tempat kerja kita tetap seperti biasa.” Dahlia kenakan syarat pula. Seeloknya begitu. Setidak-tidaknya boleh menjaga kedudukkan diri masing-masing.
Zahim anggukkan kepalanya. Tidak kiralah kawan di mana, asal dapat berkawan dengan Dahlia itu sudah cukup buat Zahim. Sekalipun Dahlia menetapkan mereka hanya boleh berkawan untuk satu jam saja sehari, itu sudah cukup buat Zahim.

0 comments:

Post a Comment