12


“Kenapa ni, aku tengok kau seperti ada masalah saja? Dah beberapa hari macam orang hilang semangat saja!” tegur Luqman akhirnya. Nampak benar akan perubahan pada diri Zahim.
Zahim gelengkan kepalanya.
“Eh! Kita orang ajak kau datang sini nak main bowling, kalau muka kau macam ni, dengan kau-kau sekali kita orang baling nanti!” Adam mencelah.
Zahim tersenyum. Teringat akan kata seseorang yang seakan sama dengan kata-kata Adam.
“Kau orang main ajelah. Aku tak ada mood!”
“Cakaplah, apa masalahya.” Desak Adam. Rasa tak senang melihat Zahim dalam keadaa begitu.
Zahim malas hendak menjawab. Matanya liar memandang sekeliling. Tiba-tiba dia terlihat pasangan yang sedang berpegangan tangan.
Bukankah itu kekasihnya Dahlia? Tetapi kenapa bersama dengan gadis lain. Zahim bingkas bangun. Adam dan Luqman jadi hairan. Berkejar mereka bila melihat Zahim meluru ke arah seseorang.
Serentak dengan itu tangan Zahim sudah terhayun ke mulut Fendy. Terduduk Fendy jadinya.
Cepat-cepat Adam dan Luqman menyabarkan Zahim.
“Kau ni memang lelaki tak guna!” herdik Zahim pula.
“Eh! Zahim, kau ni kenapa? Tiba-tiba menyerang orang ni,” soal Adam. Dia betul-betul terkejut dengan sikap Zahim itu.
“Dengan Lia kau bercinta, tapi kau keluar dengan perempuan lain. Jenis lelaki apa kau ni?” pekik Zahim lagi.
Fendy pegang bibirnya yang tiba-tiba rasa pedih.
Zahim terus keluarkan telefon bimbitnya.
“Lia, awak kat mana ni?” soal Zahim kasar.
“Memancing,” jawab Dahlia.
“Memancing? Eh, awak tahu tak buah hati kesayangan awak ni buat apa kat One Utama?”
Dahlia sudah gementar. Ini tanda-tanda penyamaran Fendy bakal kantoi.
“Awak tahu tak dia bersama perempuan lain?”
Sah, memang kantoi. Si Fendy pun satu, kalau iyapun nak berdating janganlah tempat-tempat macam tu. Aduh! Payah begini.
“hah! Kenapa awak diam?” marah Zahim lagi.
“Saya tak tahup un!” jawab Dahlia lambat.
“macam mana awak nak tahu kalau asyik memancing.” Zahim tutup terus telefon bimbitnya. Marah berbaur geram. Sekarang ni bukan dia marahkan Fendy saja, tetapi dengan Dahlia berlebih lagi.
“Encik, macam ini sajalah. Baik saya berterus terang saja. Dah tak guna saya nak sembunyikan lagi. Saya ni sebenarnya sepupu Dahlia. Ini teman wanita saya. Hari tu saya menyamar je jadi boyfriend si Lia. Itu rancangan dia. Dia kata encik syok kat dia, jadi dia tak ada pilihan lain.” Fendy berterus terang. Tidak mahu ada salah faham lagi.
“Apa?” soal Zahim dengan rasa terperanjat. Dia pandang tepat wajah Fendy. Rasa tidak percaya dengan apa yang didengar.
Sedang Luqman dan Adam sudah mula tersenyum-senyum. Ada udang di sebalik batu rupanya. Padanlah tak serupa orang dua tiga hari ini. Kes putus harapan rupanya.
“Si Lia terlebih perasan. Dia ingat encik syok kat dia. Itu sebabnya buat rancangan yang bukan-bukan. Apapun saya minta maaf bagi pihak Lia kalau dia dah salah faham dengan encik,” kata Fendy.
Muka Zahim sudah merah. Malu bukan main lagi.
“Saya ingat baik encik jangan tunjuk sangat perihatin pada Dahlia tu. Dia memang jenis yang kuat perasan, ” kata Fendy lagi cuba menyapu bibirnya yang mula berdarah.
Luqman hulurkan tangannya kepada Fendy. Cuba menolong Fendy bangun.
“Saya pun minta maaf bagi pihak kawan saya ni,” kata Luqman bila terang-terang Zahim seakan tidak boleh bersuara. Terkunci mulutnya tiba-tiba.
“Tak mengapa, ini semua salah faham saja,” kata Fendy perlahan.
“Minta maaf,” kata Zahim sudahnya bersama perasaan kesal.
Fendy terpuk perlahan bahu Zahim tanda dia tidak rasa apa-apa selain rasa pedih dibibirnya. Salah dia juga kerana ikutkan saja rancangan bodoh Dahlia.
“kami pergi dulu,” kata Fendy sambil tarik tangan Linda.
Luqman dan Adam ketawa selepas itu. Benar-benar tidak percaya Zahim akan bertindak begitu hanya kerana budak dispatch itu.
“Kau betul-betul ada hati dengan Lia?” soal Adam ingin tahu.
Zahim diam. Tiada jawapan yang paling sesuai.
“Tak kan kau serius kali ni.” Luqman pula bertanya.
“Kenapa dia tak layak untuk aku?” soal Zahim kasar.
“Sebab dia macam tu, aku tak layak nak sayang dia? Begitu?” soal Zahim lagi.
“Bukan macam tu, tapi carilah gadis yang lebih sesuai,” tambah Luqman.
“Ah! Sudahlah kau orang. Rupanya kau orang lebih suka mengutuk aku dari tumpang bahagia bersama aku!” Zahim bawa diri. Sudah tidak sanggup untuk bersama teman-temannya.
Luqman dan Adam saling berpandangan sesama mereka bersama perasaan yang sangat pelik.
“Takkanlah Dahlia?” Luqman masih tertanya-tanya.
“Aduhai Zahim. Tak faham betullah dengan dia ni.” keluh Adam pula.

11


Dahlia pandang sepupunya. Kemudian wajah Linda teman wanita sepupunya. Nampak keduanya macam pelik sangat. Macam tak serupa orang saja.
“Kali ni je.” Dahlia merayu lagi.
“Yang beriya suruh aku jadi boyfriend kau ni kenapa?” soal Fendy. Cara Dahlia merayu itu nampak pelik. Tak pernah-pernahnya buat perangai sepelik itu.
“Dah hilang akal?” soal Fendy lagi.
“Bos aku tu….” Dahlia dah tak terkata. Karang kalau cerita lebih detail, mahu tak menang mulut Fendy gelak. Kalau setakat kena gelak boleh tahan lagi. Buatnya kena kutuk, mahu berperang pulak dengan sepupunya itu. Tapi Dahlia betul-betul perlukan pertolongan dari Fendy. Dah tak ada orang lain yang boleh diharap. Nak tak nak terpaksa jugaklah Dahlia tebalkan muka.
“Kenapa pulak dengan bos kau?” sergah Fendy sedikit kuat. Terkejut Dahlia jadinya.
Fendy ni karang aku karate jugak! Marah Dahlia dalam hati.
“Aku rasa macam dia syok kat aku je…”
Secepat itu Fendy tolak kepala Dahlia.
“Kau ni sakit ke mabuk? Kalau iyapun perasan orang syok dengan kau, agak-agaklah sikit,” marah Fendy tanda kurang percaya.
“Eh, kalau tak sebabkan bos aku, aku tak minta tolong kau tahu tak?” Dahlia pula naik angin. Marah bila cakap-cakapnya langsung tidak di percayai.
“Tolonglah Lia Fendy. Bukan susahpun,” desak Linda pula. Kasihan melihat muka Dahlia.
Fendy diam. Dia pandang muka Linda. Kemudian muka Dahlia.
“Kau nak aku buat macam mana?” soal Fendy akhirnya.
“Esok bos aku ajak aku keluar. Dia ajak aku tengok wayang kat Sunway Pyramid.”
Fendy pandang lagi wajah Linda. Nak tanya Linda, sama ada dia percaya atau tidak. bagi Fendy, memang susah untuk dia percaya dengan apa yang di dengarnya.
“Bos kau tu dah tua ke muda?” Fendy masih kurang percaya.
“Muda lagi. Belumpun 30 tahun.”
“Manalah bos kau tu letak mata!” keluh Fendy dengan bersungguh.
Linda cubit perlahan peha Fendy. Tidak mahu Fendy terlalu menghina. Tetapi kedua tersenyum juga sudahnya.
“Aku tahulah siapa aku, tak payahlah nak cakap!” marah Dahlia.
“Aku cakap yang betul. Kau ni tak serupa perempuan langsung,” ujar Fendy lagi.
“Kutuklah, aku tak kisahpun. Aku macam nipun masih ada yang tergila-gilakan kat aku. Lepas tu bukan calang-calang orang pulak tu!”
“Hisy! Dahlah tak serupa perempuan, perasan pulak!” rungut Fendy.
Dahlia hanya tersenyum. Kalau orang lain tidak percaya, apatah lagi dia. Sehingga hari ini Dahlia masih tidak percaya, Zahim itu suka dengannya.


Sejak mula melagkah memasuki ruang legar Sunway Pyramid, Dahlia pegang kemas tangan Fendy.
“Kau buat betul-betul, kalau tak menjadi aku bunuh kau!” ugut Dahlia bersungguh.
“Hisy! Aku macam tak percaya saja dengan cakap kau ni Dahlia. Kau ni nak buat apa sebenarnya?” Fendy masih susah untuk percaya dengan apa yang sedang mereka lakukan itu.
“Percaya tak percaya itu belakang kira. Janji kau buat betul-betul.”
Fendy masih juga teragak-agak.
“Itu mamatnya!” tunjuk Dahlia pada susuk tubuh lelaki yang sedang berdiri sambil melihat tertinjau-tinjau.
“Lelaki pakai baju merah tu?”
“Hurm.”
“Mak ai, handsome gila!” Fendy juga terkejut.
“Anak kacukan biasa la,” jawab Dahlia.
“Dia syok dengan kau, atau kau yang syok dengan dia. Agak mustahil ni.” Soal Fendy lagi.
“Eh! Fendy, aku sedarlah siapa diri aku. Sebab itu aku minta kau tolong aku.”
Akhirnya Fendy melangkah juga menghampiri Zahim.
Zahim tergamam bila melihat Dahlia begitu mesra berpegangan tangan dengan seorang lelaki. Perasaannya jadi tidak tentu arah. Kemudian dia mula sedar, sesungguhnya hatinya juga sudah retak.
“Hai Encik Zahim. Lama tunggu?” soal Dahlia sambil melentokkan kepalanya ke bahu Fendy.
Zahim sudah tak terkata.
“Kenalkan, ini Fendy, teman lelaki saya,” kata Dahlia lagi.
Terus Fendy hulurkan tangannya.
Dengan perasaan yang amat payah, Zahim hulurkan juga tangannya.
“Saya Zahim.” Lambat Zahim bersuara.
“Okey, apa kata kita tengok wayang bersama,” ajak Fendy.
“Err…,” Zahim agak keberatan.
“Jomlah Encik Zahim,” ajak Dahlia.
“Tak mengapalah. Awak berdua pergi sajalah. Saya ada hal lain,” jawab Zahim dengan rasa kecewa.
“Hmm, kalau macam tu, kami pergi dululah!” Terus Dahlia tarik tangan Fendy.
“Pergi dulu,” kata Fendy.
Zahim hanya melihatkan saja Dahlia berlalu pergi bersama perasaan yang sangat sakit.
“Kejap itu jugak ada halnya,” bebel Dahlia.
“Eh, Lia kau ni bodoh betullah. Kalau aku jadi kau, aku tak akan tolak lelaki macam tu.” Fendy masih tertoleh. Dari riak wajah Zahim, Fendy tahu lelaki kacak itu memang menaruh hati dengan sepupunya.
“Tapi yang peliknya, takkanlah semurah itu citarasa dia. Engkau ni, jenis yang bagi free pun belum tentu ada yang nak.”
“Mangkuk ayun!” serentak dengan itu tangan Dahlia sudah sampai ke belakang Fendy. Mengekek Fendy jadinya.
Hati Zahim makin sayu melihat kemesraan yang terpamer.
Zahim terus pulang ke rumah. Tidak sangka rupanya Dahlia sudahpun mempunyai teman lelaki. Padanlah Dahlia selalu saja mengelak. Nampaknya harta dan kemewahan tidak mampu untuk mempengaruhi Dahlia. Dia tetap setia dengan cintanya.
Dua tiga hari selepas itu Zahim tidak lagi ke bahagian penghantaran. Hendak berjumpa dengan Dahlia juga, Zahim sudah terasa amat malu.