11


Zahim menunggu di dalam kereta. Tahu sebentar nanti Dahlia akan muncul. Mengikut jadual, ada sebuah bungkusan yang bakal dihantar ke bangunan tersebut.
Tidak lama kemudian dia terpandang Dahlia muncul bersama motorsikalnya. Dibiarkan Dahlia menjalankan tugasnya terlebih dahulu dan dia bakal bertindak kemudiannya.
Bagi Zahim cukuplah beberapa hari ini dia bersabar. Dia bukanlah seorang lelaki yang dibekalkan dengan sifat sabar. Jadi dia perlu menghuraikan kekusutan yang sedia ada dengan segera. Dia tidak mahu jatuh sakit kerana memikirkan perkara itu terlalu lama.
Ketika Dahlia muncul semula di tempat motorsikalnya, Zahim bergegas keluar dari kereta lalu rentap tangan Dahlia dengan kasar.
“Encik? Apa encik buat di sini?” soal Dahlia sambil melihat sekeliling. Bimbang kalau-kalau ada yang terpandang. Teruk dia nanti. kena gelak tak apa lagi. Kalau dah kena kutuk memang sakit sangat hati.
“Encik, saya banyak kerja ni.” Pantas Dahlia bersuara lalu tangannya ditarik dari gengaman Zahim.
“Dahlia, boleh awak berikan saya lima minit untuk buat penjelasan?” Rayu Zahim sambil mula lepaskan tangan Dahlia.
Dahlia pandang wajah Zahim dengan penuh tanda tanya. Apa lagi yang hendak dijelaskan sedang semuanya sudah jelas kini.
“Saya nak berkawan dengan awak.” Zahim berterus terang.
“Hah?” Dahlia kehairanan.
“Encik nak berkawan dengan saya?” soalnya kemudian. Tak faham. Kawan tu jenis yang bagaimana? Kawan atau kawan-kawan?
“Hmm…” angguk Zahim.
“Saya nak jadi kawan awak. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.”
“Hisy…” Dahlia merengus. Terasa sudah penat untuk melayan kerenah Zahim. Seolah-olah tidak faham bahasa
“Kalau Encik macam ni, saya akan berhenti kerja,” ugut Dahlia tiba-tiba.
“Saya cuma nak berkawan dengan awak, itupun susah ke untuk awak terima saya sebagai kawan awak?”
“Encik, tolonglah. Kita tak boleh sama sekali berkawan.”
“Kenapa? Sebab saya keturunan burung merak, dan awak itik serati? Begitu?”
Wah, keturunan burung rupanya. Padan pun tak faham bahasa. Akan tetapi kiasan Zahim Dahlia faham sefahamnya. Dia bukan keturunan itik serati yang tak faham bahasa orang. Dia jelas sejelasnya.
“Encik sedar pun, kenapa masih tak nak terima kenyataan? Tak kira burung merak atau itik serati, kita sama sekali tak boleh berkawan.”
“Ah! Itu peraturan yang dibuat oleh manusia. Tak ada kena mengena dengan kita. Asalkan ikhlas tak kiralah siapapun kita. Tapi dalam kes kita ni, saya rasa awak memang tak nak langsung berkawan dengan saya. Mungkin saya tak sepadan dengan awak. Iyalah, awakkan cantik, comel.”
Dahlia gigit hujung bibirnya sambil menahan perasaan. Geram! Kalau ikutkan hati mahu ada yang cium gigi jalan tengahari buta ini.
“Dahlah Encik Zahim, jangan nak merepek yang bukan-bukan. Saya cakap lain, Encik cakap lain. Tak payahlah kita bercakap. Saya cakap pun encik bukan nak faham!” kata Dahlia sudahnya.
Zahim masih tak bergerak. Dia masih tidak berpuas hati.
“Encik nak apa sebenarnya ni sampai sanggup tunggu saya kat sini?” soal Dahlia sambil melihat wajah Zahim yang sudah kemerahan. Kasihan pula melihat lelaki seorang ini. Nampak bersungguh untuk berkawan.
“Saya nak awak terima saya sebagai kawan awak. Itu saja.”
“Iyalah, iyalah, kita kawan. Dah puas hati sekarang?”
“Hah?” terperanjat Zahim dengan kata putus Dahlia. Semudah itu?
“Jadi awak sudi terima saya sebagai kawan saya?”
“Encik ni pelik betul. Tak serupa dengan lelaki lain. Kalau lelaki lain punyalah mengutuk saya.”
“Saya lelaki tulin Dahlia.”
Dahlia tersenyum sudahnya. Cara Zahim menjelaskan ketulinan dirinya itu seperti sangat bersungguh, macamlah Dahlia ada menyebut benda-benda yang tak elok. Pondan misalnya.
Zahim sedar hanya jauhari kenal maknikam. Sesungguhnya berlian itu kalau jatuhnya dilumpur kekal juga bernama berlian. Kerana berlian sejak mula tetap tidak ternilai.
Zahim tersenyum. Terasa sedikit gembira. Walaupun sebenarnya perasaan terkejut itu lebih menguasai. Sangka Zahim usaha berhari-hari ini bakal membuahkan hampa tetapi sebaliknya. Sekalipun cakap-cakap Dahlia itu kedengarannya seperti tidak berapa ikhlas, namun Zahim tetap percaya semuanya bakal berjalan dengan baik tidak lama lagi. Yang Zahim benar-benar perlukan ketika ini ialah peluang dan kesempatan. Mudah-mudahan semuanya bakal berjalan dengan baik selepas ini.
“Tapi kita hanya menjadi kawan untuk di luar sahaja. Di tempat kerja kita tetap seperti biasa.” Dahlia kenakan syarat pula. Seeloknya begitu. Setidak-tidaknya boleh menjaga kedudukkan diri masing-masing.
Zahim anggukkan kepalanya. Tidak kiralah kawan di mana, asal dapat berkawan dengan Dahlia itu sudah cukup buat Zahim. Sekalipun Dahlia menetapkan mereka hanya boleh berkawan untuk satu jam saja sehari, itu sudah cukup buat Zahim.

10


Zahim melangkah mengekori Dahlia. Sambil itu dia tersenyum kemudian ditarik beg yang Dahlia selempangkan di belakang.
Dahlia menoleh.
“Encik Zahim?” soalnya sedikit terkejut. Bila masa pula mamat ini mengekorinya.
“Dah sarapan?” soal Zahim lembut.
Dahlia terangak-agak untuk menjawab.
“Jomlah kita sarapan…” Lantas tangan Dahlia terus ditarik. Melihatkan cara Dahlia yang teragak-agak untuk menjawab Zahim tahu Dahlia masih belum menjamah sebarang makanan. Peluang terbaik Zahim untuk bersarapan bersama Dahlia
Dahlia meronta sedikit. Minta tangannya dilepaskan. Bukan kerana dia tidak menyangka tangannya dipegang orang tetapi bimbangkan mata yang bakal memandang. Bukan lagi tidak manis bahkan tidak elok juga.
“Encik, encik pegang tangan saya,” ujar Dahlia sambil melihat sekeliling. Bimbang ada yang sudah terlihat keadaan mereka itu. Bukan takut menjadi bahan usikan teman-teman lain, yang Dahlia bimbangkan ialah dia bakal dikutuk depan-depan nanti. Dahlia itu siapa, dan Zahim pula siapa. Tentu saja yang buruk bakal tertunding kearahnya.
Perlahan Zahim lepaskan tangannya dan berhenti seketika. Fikir Dahlia, kata maaf bakal menyusul.
“Saya dah pegang tangan awak ke?” Zahim tersenyum. Kurang sedar dengan perbuatan sendiri.
Mamat ni, nak mampus dengan aku gamaknya! Begitu hati Dahlia membebel.
“Kita pergi sarapan sekarang…” arah Zahim terus.
“Maaf encik, lain kali sajalah, lagipun…”
Belum sempat Dahlia habiskan ayat Zahim sudah merapatkan badannya ke badan Dahlia.
“Awak nak saya peluk awak di sini?” Zahim berbisik dan Dahlia sudah terkejut. Ditatap wajah Zahim penuh hairan. Tersampuk jembalang hutan manalah dia pagi ini. Lain betul!
“Kalau awak tak nak kena peluk, kita pergi sarapan sekarang,” kata Zahim dengan wajah separuh serius. Separuh lagi dia menahan perasaan lucu. Wajah Dahlia kelihatannya benar-benar pucat. Dan jauh disudut hatinya dia tidak teragak-agak untuk memeluk gadis seorang ini sekirannya Dahlia masih berdolak dalih.
Susah benar hendak didekati.
Dahlia gigit hujung bibirnya. Berusaha untuk mencari alasan yang dapat membantu dia mengelak. Bersarapan bersama seorang lelaki itu mungkin satu hal, tetapi bersarapan dengan lelaki bernama Zahim tidak boleh dilihat sebagai satu hal sebaliknya terlalu mustahil untuk gadis seperti Dahlia. Dahlia sedar dan sangat tahu, langit itu tinggi ataupun rendah! Sebab itu dalam keadaan begitu dia tidak boleh tidak sedarkan diri.
“Encik Zahim…” panggil Dahlia lalu diberanikan juga untuk menatap wajah Zahim.
Zahim tatap juga wajah Dahlia yang jelas-jelas sangat berbeza dari tadi. Seperti wajah itu meraih sedikit simpati.
“Saya rasa tak elok kita sarapan bersama. Encik bukan tak tahu mulut pekerja-pekerja encik.” Itu saja alasan yang Dahlia mampu fikirkan. Selain itu dia tidak tahu. Harap-harap lelaki itu akan faham. Tapi melihatkan kerut di dahi serta tangan kiri yang sedang menggaru kening kiri, sah lelaki itu tidak faham apa-apa.
“Saya dah cukup penat untuk mendengar kutukan orang. Saya penat sangat!” keluh Dahlia dengan wajah paling serius. Tanda dia bukan main-main kali ini.
Zahim tidak mampu untuk bersuara selanjutnya. Kedengaran terlalu kasihan.
“Jangan disebabkan budi saya yang tak seberapa, encik terpaksa menjaga hati saya selamanya. Saya ikhlas dengan apa yang saya lakukan. Jadi encik tak perlu bimbang akan termakan budi.” Dari wajah Zahim, Dahlia lihat pula kasut Zahim yang berkilat. Sesungguhnya untuk bertempat di kasut berkilat itu juga belum tentu ada ruang buat Dahlia.
“Cukup setakat ini saja. Encik jangan lagi dekati saya. Saya merayu sangat-sangat agar encik jangan lagi bercakap atau ambil berat tentang saya.” Dahlia terus melangkah selepas itu tanpa menanti Zahim bersuara. Kata hati Dahlia elok benar dia bertegas begitu. Bukan saja untuk mengelak tohmahan orang, bahkan menyelamatkan perasaannya juga. Manalah tahu kalau-kalau nanti perasaannya terusik, tersampuk atau terkenan. Siapa pula yang tidak berkenan kalau menerima layanan baik begitu dari seorang lelaki yang serba serbinya sempurna.
Zahim sekadar melihat langkah Dahlia yang makin menjauh dengan peraaan terkilan. Dalam banyak perkara rupanya dia masih belum bersedia untuk memahami. Kenapa dia boleh terlupa akan semuanya tentang Dahlia. Kenapa dia boleh terlupa tentang perasaan Dahlia sedang perasaan itulah yang hendak dijaga dan diberi perhatian sejak mula.
Zahim ke pejabatnya. Rasa terkilan tadi sudah bertukar bimbang. Bagaimana kalau Dahlia terus-terusan begitu? Bermakna harapan untuk mendekati Dahlia sama sekali tidak menjadi sedang hati dan perasaan Zahim sudah lama berkenan dengan gadis seorang itu.
Hari ini jelas-jelas Dahlia sudah memberi amaran agar tidak lagi mendekatinya. Bukan setakat mendekatinya bercakap juga tidak boleh.
Beberapa hari selepas itu ternyata Dahlia benar-benar mengelak. Terpandang saja kelibat Zahim, terus dia bersembunyi. Bukan Zahim tidak sedar tingkah Dahlia itu tetapi dia sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa.